LAHAD DATU, 12 Ogos – Pelancong China ke Sabah dan khususnya pantai timur negeri itu atau Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) berpuas hati dengan tahap keselamatan di kawasan berkenaan, kata Konsul Jeneral China di Kota Kinabalu Huang Shifang.

Beliau berkata Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) melaksanakan tugas dengan baik dan tiada lagi keraguan akan keselamatan di pantai timur Sabah.

“Sebab itulah saya datang ke sini untuk mengucapkan syabas dan tahniah atas kejayaan ESSCom memastikan kawasan pantai timur sentiasa berada dalam keadaan aman dan selamat, dan ini memberikan keyakinan kepada semua warga China ke negeri ini termasuk pelancong mahupun pelabur,” katanya.

Huang turut berharap agar hubungan serta komunikasi dua hala antara Pejabat Konsulat Republik China di Kota Kinabalu dan ESSCom dapat diperkukuh.

Semalam Huang melakukan lawatan kerja rasmi ke Kluster Perindustrian Minyak Sawit (POIC) di sini serta meluangkan masa bertemu Komander ESSCom DCP Victor Sanjos di Pejabat ESSCom.

Sementara itu, Victor dalam kenyataan sama berkata pihaknya sentiasa mengutamakan keselamatan pelancong yang berkunjung ke pantai timur Sabah serta siap siaga mempertahankan keselamatan ESSZone daripada sebarang ancaman luar.

“ESSCom merancang mengadakan jalinan kerjasama strategik bersama agensi lain termasuk Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta Jabatan Imigresen.

“Langkan ini ke arah mewujudkan satu data pergerakan pelancong bagi memudahkan pasukan keselamatan memantau pergerakan serta keberadaan pelancong agar bantuan segera dapat diberikan sekiranya berlaku kes kecemasan atau luar jangka,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here