SHAH ALAM, 13 Ogos – Kerajaan Selangor mengisytiharkan esok (14 Ogos) sebagai hari kelepasan am bagi seluruh negeri itu sempena Pilihan Raya Dewan Negeri Selangor ke-15.

Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Datuk Haris Kasim menerusi satu kenyataan hari ini.

“Sukacita dimaklumkan bahawa Kerajaan Negeri Selangor bersetuju untuk mengisytiharkan hari Isnin, 14 Ogos 2023, bersamaan 27 Muharram 1445H, sebagai Cuti Hari Kelepasan Am bagi seluruh negeri Selangor sempena Pilihan Raya Dewan Negeri Selangor Ke-15,” menurut kenyataan itu.

Jumaat lepas, Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari dalam Amanat Khas yang disiarkan menerusi Facebook beliau mengumumkan cuti peristiwa esok sekiranya gabungan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) berjaya memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor.

Keputusan PRN Selangor semalam menyaksikan gabungan PH-BN memperoleh 34 kerusi daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala Perikatan Nasional 22 kerusi.

Sementara itu, Kerajaan Negeri Sembilan turut mengisytiharkan esok sebagai hari kelepasan am bagi seluruh negeri itu sempena PRN yang telah berlangsung semalam.

Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mohd Zafir Ibrahim mengumumkan perkara itu menerusi satu kenyataan hari ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here