KUALA LUMPUR, 14 Ogos – Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata beberapa perkara yang dibangkitkan warga Kementerian Kesihatan (KKM) pada sesi dialog dengan beliau di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu hari ini sedang dalam tindakan.

Beliau berkata berkenaan isu elaun perpindahan Pegawai Perubatan ke Sabah dan Sarawak, perkara itu sedang beliau bincangkan dengan Bahagian Sumber Manusia (BSM) KKM bersama Kementerian Kewangan untuk pertimbangan berdasarkan peraturan perbendaharaan.

“Selain itu isu penurunan gred bagi pegawai farmasi dan pergigian yang dilantik ke skim tetap akan turut dibawa ke perhatian Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

“Tempoh kontrak maksimum lima tahun bagi pegawai farmasi turut mendapat perhatian saya. Saya akan minta Bahagian Sumber Manusia untuk menilai semula bagi memastikan laluan kerjaya profesion ini lebih terjamin,” katanya. 

Menurut Dr Zaliha cadangan untuk pendigitalan sistem kesihatan juga akan menjadi keutamaan untuk dimantapkan dan diperluaskan ke fasiliti-fasiliti KKM di seluruh negara selain ingin melihat Rekod Perubatan Elektronik (EMR) dilaksanakan dalam kadar segera.

Beliau berkata sesi libat urus bersama warga kerja kementerian seperti itu adalah platform kepada warga KKM untuk menyampaikan pendapat secara terus kepadanya sebagai Menteri Kesihatan.

“Insya-Allah, saya bertekad untuk mewujudkan ekosistem kerja yang lebih inklusif sekali gus meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan kepada rakyat,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here