SEREMBAN, 14 Ogos – Pelantikan 10 Exco Negeri Sembilan akan diadakan secepat mungkin selepas rundingan semua parti gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) selesai, kata Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.

Aminuddin berkata perbincangan itu mungkin diadakan esok sebelum senarai nama Exco yang dibarisi muka baharu dan lama dimuktamadkan selewat-lewatnya minggu ini.

“Bilangan Exco tidak melebihi 10 orang seperti termaktub dalam Perlembagaan, kita perlu dapatkan persetujuan pucuk pimpinan parti masing-masing supaya tiada perkara berbangkit,” katanya kepada pemberita selepas Istiadat Penyerahan Watikah, Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Menteri Besar Negeri Sembilan di sini hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) boleh meneruskan khidmat kepada rakyat di kawasan masing-masing sekali gus memastikan kelangsungan kerajaan negeri.

Aminuddin berkata Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Zulkefly Mohamad Omar masih menjalankan tugas sehingga Majlis Angkat Sumpah Exco diadakan.

Dalam pada itu, Aminuddin berharap semua ADUN gabungan itu bekerja bersungguh-sungguh memastikan kelancaran pembangunan di negeri ini.

“Tuanku (Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir) menitahkan supaya tidak mengugut atau perkara menggugat keharmonian kerajaan negeri. Kita perlu memastikan tiada kepentingan peribadi dan kepartian,” katanya.

Sementara itu, Aminuddin dalam Ikrar Taat Setia Istiadat Penyerahan Watikah, Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Menteri Besar Negeri Sembilan menjunjung kasih atas perkenan Tuanku Muhriz atas lantikan itu.

“Patik juga berikrar akan menyempurnakan tugas mentadbir negeri dengan baik dan penuh keikhlasan dan kejujuran. Bersempena dengan istiadat ini, patik mohon melafazkan ikrar taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada Tuanku.

“Sesungguhnya keprihatinan Tuanku dan jalinan keakraban antara rakyat dengan institusi raja yang dizahirkan selama ini telah membolehkan patik melaksanakan mandat menguruskan pentadbiran kerajaan negeri dengan lancar,” katanya.

Aminuddin berkata atas Aspirasi Perpaduan Negeri Sembilan dijanjikan, beliau berikrar akan melaksanakan tugasnya dengan penuh iltizam, integriti dan keikhlasan.

“Sesungguhnya kerjasama erat dan sokongan kolaboratif setiap barisan kepimpinan dan jentera perkhidmatan awam bersama anggota Kerajaan Perpaduan Negeri Sembilan yang akan dibentuk menjadi keampuhan untuk mencapai kemajuan negeri, kemampanan ekonomi dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Beliau berkata mandat diberikan rakyat akan diterjemahkan dalam bentuk tindakan demi memastikan prestasi negeri ini digarap bersama lima tekad yang telah digariskan selari dengan Malaysia Madani yang diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di peringkat Persekutuan.

Keputusan PRN Negeri Sembilan pada Sabtu lepas, menyaksikan gabungan PH dan BN berjaya membentuk kerajaan negeri selepas mendapat 31 kerusi iaitu 17 kerusi PH dan 14 kerusi BN manakala Perikatan Nasional (PN), lima kerusi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here