KUALA LUMPUR, 18 Ogos – Perdagangan Malaysia dengan Asean mewakili 28.1 peratus atau RM60.8 bilion daripada jumlah perdagangan Malaysia pada Julai, menyusut 17 peratus tahun ke tahun, kata Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI). 

Dalam kenyataan Prestasi Perdagangan Luar Bagi Julai 2023 dan Januari-Julai 2023 yang dikeluarkan hari ini, katanya eksport menguncup 18.8 peratus kepada RM34.53 bilion, disebabkan terutamanya oleh eksport yang rendah bagi keluaran petroleum manakala petroleum mentah mencatat kenaikan eksport.

Import dari Asean berkurangan 14.6 peratus kepada RM26.27 bilion.

Eksport ke pasaran utama Asean yang merekodkan peningkatan adalah Vietnam yang berkembang RM9.4 juta, disumbangkan oleh eksport yang kukuh bagi barangan elektrik dan elektronik (E&E).

Bagi tempoh Januari hingga Julai 2023, perdagangan dengan Asean merosot 6.1 peratus kepada RM415.82 bilion berbanding tempoh sama tahun lepas.

Menurut kenyataan itu, perdagangan Malaysia dengan China yang merangkumi 17.2 peratus (RM37.13 bilion) daripada jumlah perdagangan pada Julai, turun 8.4 peratus tahun ke tahun.

“Eksport ke China menokok 6.1 peratus kepada RM16.8 bilion, disokong oleh eksport kukuh bagi barangan E&E, keluaran petroleum serta barangan kertas dan palpa, manakala import dari China menyusut 17.7 peratus kepada RM20.33 bilion,” katanya.

Perdagangan dengan China pada tujuh bulan pertama tahun ini turun sebanyak 7.1 peratus kepada RM252.81 bilion berbanding tempoh sama pada 2022.

Perdagangan dengan Amerika Syarikat (AS) pada Julai 2023 yang mewakili 9.8 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia menyusut 6.7 peratus tahun ke tahun kepada RM21.27 bilion.

Eksport bertambah 2.2 peratus kepada RM13.59 bilion berikutan permintaan yang kukuh bagi barangan E&E, manakala import dari AS turun 19.3 peratus kepada RM7.67 bilion.

Bagi tempoh Januari hingga Julai 2023, perdagangan dengan AS turun sebanyak 5.4 peratus kepada RM139.62 bilion berbanding tempoh sama pada 2022.

MITI berkata perdagangan dengan Kesatuan Eropah (EU) pula terdiri daripada 7.8 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia, turun 1.2 peratus tahun ke tahun kepada RM16.83 bilion pada Julai. Eksport berjumlah RM9.01 bilion dengan kemerosotan 5.8 peratus.

Eksport ke pasaran utama EU yang mencatatkan pertumbuhan adalah Belanda dengan peningkatan RM343.8 juta, Jerman (RM129.5 juta) dan Belgium (RM49.1 juta), masing-masing disumbangkan oleh kenaikan eksport barangan E&E.

Pada tempoh Januari hingga Julai 2023, perdagangan dengan EU susut 4.5 peratus kepada RM118.63 bilion berbanding tempoh sama tahun lepas.

 Perdagangan dengan Jepun yang merangkumi 5.4 peratus atau RM11.59 bilion daripada jumlah perdagangan Malaysia menyusut 23.8 peratus tahun ke tahun pada Julai. Eksport turun 26.9 peratus kepada RM5.8 bilion disebabkan oleh pengurangan eksport gas asli cecair (LNG).

Dalam tempoh tujuh bulan pertama 2023, perdagangan dengan Jepun turun 9.4 peratus kepada RM91.69 bilion berbanding tempoh sama tahun lepas.

Perdagangan dengan rakan dagang Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) yang merangkumi 67.6 peratus (RM146.37) bilion daripada jumlah perdagangan Malaysia menguncup 14.3 peratus tahun ke tahun pada Julai.

Eksport ke rakan dagang FTA pula berkurangan 11.4 peratus kepada RM81.94 bilion dan import menyusut 17.7 peratus kepada RM64.42 bilion, kata kenyataan itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here