KUALA LUMPUR, 30 Ogos – Menteri Negara bagi Indo-Pasifik di Pejabat Luar, Komanwel & Pembangunan UK, Anne-Marie Trevelyan akan melawat Malaysia dari 5 hingga 8 Sept untuk sesi  perbincangan mengenai kerjasama iklim, keselamatan serantau dan perdagangan.

Menurut kenyataan Suruhanjaya Tinggi British di Kuala Lumpur, beliau akan bertemu Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution dan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Liew Chin Tong untuk mengukuhkan kerjasama dua hala.

Berdasarkan kedudukan Malaysia di tempat ke-12 negara kepelbagaian biologi di dunia, program Trevelyan juga akan memberi tumpuan kepada tindakan iklim dan perlindungan alam semula jadi, menurut kenyataan itu.

Menteri itu dijadual menyampaikan ucapan mengenai perniagaan dan tindakan iklim pada Bengkel PKS Sidang Tadbir Urus Iklim di Kuala Lumpur pada 6 Sept.

Beliau juga akan melawat Sarawak untuk bertemu masyarakat asli Borneo, melawat tapak mengisi minyak untuk bas berkuasa hidrogen dan melihat usaha pemuliharaan biodiversiti di Pusat Hidupan Liar Semenggoh.

Trevelyan akan melawat Laos sebelum tiba di Malaysia, susulan lawatan Setiausaha Luarnya ke Filipina dan China minggu ini.

“Kami mesti bekerjasama dengan rakan kongsi di Indo-Pasifik bagi menangani bersama cabaran global akibat perubahan iklim.

“Melalui perkongsian kami di Laos dan Malaysia, UK menyokong pertumbuhan mampan dan mempercepat peralihan kepada tenaga bersih untuk menjamin masa depan yang berdaya tahan dan makmur,” katanya.

Trevelyan berkata semasa Laos bersiap sedia untuk mengambil alih jawatan Pengerusi ASEAN pada 2024, UK sebagai Rakan Dialog ASEAN akan terus bekerjasama dengan rakan kongsi di seluruh rantau ini untuk meningkatkan kemakmuran dan kestabilan di Indo-Pasifik.

Integrated Review Refresh UK yang diterbitkan pada Mac 2023, menjadikan peningkatan penglibatan dengan Indo-Pasifik sebagai tonggak jangka panjang dasar luar UK.

Dengan lebih separuh pertumbuhan global diunjurkan datang dari Indo-Pasifik menjelang 2050, rantau ini penting dan menjadi keutamaan Perdana Menteri untuk mengembangkan ekonomi UK.

UK secara rasmi menandatangani Protokol Penyertaan blok perdagangan Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) pada Julai tahun ini.

Perkongsian itu meletakkan UK di tengah-tengah ekonomi yang berkembang pesat dan dinamik di seluruh Indo-Pasifik.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here