KUALA LUMPUR, 5 Sept – Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini dilepas tanpa dibebaskan daripada 47 pertuduhan pecah amanah jenayah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi (YAB) selepas 114 saksi memberi keterangan di Mahkamah Tinggi di sini.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu selepas mendengar 11 alasan yang dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd Dusuki Mokhtar untuk menghentikan prosiding kes berkenaan.

Antaranya Mohd Dusuki berkata beliau telah menerima arahan daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk menghentikan pertuduhan terhadap Ahmad Zahid dan memaklumkan mahkamah bahawa kes itu hendaklah diklasifikasikan sebagai DNAA.

Beliau berkata ini kerana Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih menyiasat pertuduhan terbabit selepas Ahmad Zahid menghantar representasi kepada AGC dan suruhanjaya itu pada awal tahun ini.

Bagaimanapun, peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik memohon supaya Ahmad Zahid dibebaskan sepenuhnya kerana pendakwaan gagal memberikan garis masa bagi menyelesaikan siasatan dalam kes itu.

“Kes ini sedang di peringkat pembelaan, 15 saksi telah memberi keterangan dan kini AGC memutuskan untuk mengkaji semula pertuduhan serta menjalankan siasatan lanjut. 

“AGC sendiri tidak mahu meneruskan kes ini, justeru anak guam saya perlu dibebaskan sepenuhnya,” kata beliau.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Sequerah yang memerintahkan agar Ahmad Zahid dilepas tanpa dibebaskan daripada kesemua pertuduhan, memutuskan bahawa alasan pendakwaan termasuk berkaitan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja meskipun tidak mempunyai garis masa, tidak bermakna bahawa kes itu sudah berakhir.

“Saya berpandangan bahawa pendakwaan telah memberikan alasan yang kukuh untuk memohon DNAA dalam kes ini,” katanya.

Beliau berkata fakta dalam kes Ahmad Zahid boleh dibezakan atau berbeza daripada penghakiman lepas mahkamah seperti yang dihujahkan oleh Hisyam untuk memohon agar Ahmad Zahid dibebaskan sepenuhnya dan menambah bahawa kes Mahkamah Tinggi terbabit tidak mengikat mahkamah itu.

Hakim itu berkata sebagai contoh, dalam kes sebelum ini pendakwaan tidak menyatakan dengan jelas sebab tertuduh perlu diberikan DNAA, tidak seperti kes Ahmad Zahid yang menyaksikan pendakwaan telah menyenaraikan sekurang-kurangnya 11 alasan untuk memohon perintah tersebut.

Sebelum mengakhiri prosiding mahkamah, Sequerah turut menekankan bahawa kes itu hanya akan membazirkan masa dan wang pembayar cukai jika pendakwaan selepas ini memutuskan untuk tidak meneruskan pertuduhan.

“Sebelum menangguhkan prosiding, saya ingin menyatakan bahawa kuasa Peguam Negara di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 254 Kanun Tatacara Jenayah untuk memulakan dan menarik balik pertuduhan pada bila-bila masa sebelum penghakiman adalah tidak dipertikai.

“Sekiranya pendakwaan selepas ini memutuskan bahawa mereka tidak akan meneruskan pertuduhan maka banyak masa badan kehakiman telah dibazirkan, begitu juga dengan wang pembayar cukai,” katanya.

Sejurus selepas mahkamah membuat keputusan itu, Ahmad Zahid yang bersut gelap dilihat memeluk beberapa penyokong dan ahli keluarganya yang berada di dalam mahkamah yang sesak.

Media dimaklumkan pembelaan akan memfailkan rayuan terhadap keputusan itu esok.

Bercakap kepada media di kompleks mahkamah, Ahmad Zahid yang kelihatan tenang bersyukur kepada Allah serta mengucapkan terima kasih kepada peguam dan para penyokong beliau.

Ahmad Zahid, 70, yang juga Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional, didakwa pada akhir tahun 2018 dan awal 2019.

Perbicaraan kes itu bermula pada 18 Nov 2019 dan seramai 114 saksi telah dipanggil memberi keterangan sepanjang 77 hari prosiding kes tersebut berlangsung.

Selepas mendengar keterangan 99 saksi pendakwaan, Mahkamah Tinggi pada 24 Jan 2022 telah memerintahkan Ahmad Zahid membela diri.

Pada April 2022, Ahmad Zahid adalah antara 15 saksi pembelaan yang memberi keterangan dalam kes itu.

Beliau berdepan 12 pertuduhan pecah amanah jenayah, 27 pertuduhan pengubahan wang haram dan lapan pertuduhan rasuah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here