KUALA LUMPUR, 5 Sept – Proses pembinaan dan menaik taraf sistem pemancar radio Modulasi Frekuensi (FM) kini dalam fasa akhir melibatkan 35 tapak dan dijangka siap menjelang penghujung 2024.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital Teo Nie Ching berkata keseluruhan terdapat 96 tapak stesen pemancar FM di seluruh negara dengan 61 daripadanya telah dinaik taraf secara berperingkat di bawah projek tersebut yang bermula sejak 2019.

“Usaha yang dilaksanakan oleh RTM itu jelas menunjukkan bahawa radio memainkan peranan penting dalam menyebarkan maklumat secara berkesan kepada masyarakat walau di mana mereka berada.

“Saya optimis usaha ini akan membolehkan radio kekal sebagai medium penting dalam menyalurkan inisiatif Kerajaan Perpaduan kepada rakyat,” katanya dalam ucapan pada persidangan Radiodays Asia 2023 di sini hari ini.

Mengenai Radiodays Asia 2023, beliau berkata ia menjadi pusat pertemuaan yang tepat bagi mereka yang mahu memahami lebih lanjut cabaran hari ini dan akan datang dalam industri radio, audio dan podcasting kerana persidangan itu berfungsi sebagai platform untuk berkongsi, belajar dan meneroka kemungkinan masa depan yang ditawarkan madium berkenaan.

Teo berkata dalam era penyebaran berita dan maklumat palsu, radio masih dianggap sebagai sumber yang boleh dipercayai.

Beliau berkata ketika terjadinya peristiwa besar dunia, bencana alam, serta cerita tentang rakyat sama ada peringkat nasional mahupun setempat, radio boleh menjadi medium yang berkuasa untuk menggambarkan dengan tepat apa yang berlaku dan memainkan peranan dalam menangani penyebaran maklumat salah.

Dalam pada itu, katanya audio turut memainkan peranan dalam perkembangan budaya, hiburan dan muzik serta membantu memupuk semangat kemasyarakatan dan kekitaan dalam kalangan pendengar.

“Walaupun radio telah wujud sejak bertahun-tahun lamanya ia kekal relevan dan berkembang dalam semua jenis platform digital.

“Dengan kemunculan podcasting, kita melihat penonton lebih muda mula tertarik kepada audio dengan semakin ramai daripada mereka menjadi podcasterPodcasting telah berkembang dengan pesat dan mewujudkan banyak peluang dan kemungkinan yang menarik untuk masa depan. 

“Semua media berdepan cabaran (pola) tingkah laku pengguna baharu ditambah lagi dengan perkembangan platform digital dalam ekonomi yang sangat kompetitif hari ini. Sebab itu Radiodays Asia ini sangat penting, ia membolehkan pemimpin industri berkongsi pengalaman dan membantu menghadapi cabaran semasa serta masa depan,” katanya.

Persidangan edisi keempat itu bakal menyaksikan penceramah terkemuka antarabangsa dan peneraju industri serta penerbit dan pakar pasaran berkongsi pandangan dalam 50 sesi yang dijadualkan berlangsung sepanjang program dua hari bermula hari ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here