SEOUL, 7 Sept – Membina sebuah negara yang bersifat digital inklusif akan menjadi topik perbincangan utama dalam kalangan penggubal dasar semasa Forum Pemimpin Dasar 2023 di acara GSMA M360 APAC di Korea Selatan hari ini.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil selaku ketua delegasi Malaysia, dijadual menyampaikan ucaptama pada acara dua hari itu yang diadakan di Hotel Westin Joshun di sini.

Sesi itu juga akan menampilkan perbincangan panel mengenai strategi oleh kerajaan di seluruh dunia untuk membina negara yang bersifat digital inklusif — menjana usaha bersepadu bagi menyepadukan teknologi digital, kesalinghubungan dan perkhidmatan ke dalam setiap sektor ekonomi.

Visinya adalah bagi mencapai pertumbuhan ekonomi yang mampan dan inklusif dengan meletakkan digital sebagai nadi pembangunan negara dan sosio-ekonomi.

Di luar acara itu, Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) akan mengetuai sesi dengan syarikat permainan Korea Selatan, iaitu NX3 Games dan Smilegate, untuk membincangkan kemungkinan kerjasama dalam industri permainan.

MDEC kini sedang berbincang dengan NX3 Games untuk menubuhkan sebuah studio di Malaysia dan berhubung dengan studio Malaysia untuk kerja-kerja penyumberan luar dan universiti untuk pengambilan tenaga kerja.

Sementara itu, Smilegate berminat untuk menggabungkan harta intelek Malaysia pada platform penerbitan mereka dan berminat untuk bekerjasama atau melabur dalam syarikat pembangunan permainan Malaysia serta meneroka kemungkinan untuk menubuhkan studio pembangunan Smilegate di Malaysia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here