IPOH, 12 Sept – Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM) buat julung kali melahirkan empat juruterbang kapal terbang dalam kalangan anggota wanitanya, kata Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.

Mereka ialah Insp Wan Aulia Hami Fariheen Wan Azulkefeli, 31, Insp Yeoh Yee Chee, 31, Insp Siti Nabila Abdullah, 33, dan Insp Nur Hidayah Mohd Aisa, 33.

Beliau berkata seramai 12 anggota PGU menamatkan kursus Lesen Juruterbang Persendirian Siri 19 sempena sambutan Hari Ulang Tahun PGU ke-44 hari ini dan empat daripadanya merupakan wanita, iaitu kali pertama sejak penubuhan pasukan itu pada 1 Feb 1979.

“Dengan penyematan lencana sayap penerbangan (pada majlis hari ini) kesemua pegawai kanan dan pegawai rendah polis tersebut layak untuk menjalankan tugas operasi penerbangan bersama kru penerbangan sedia ada,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Ayob Khan berkata secara amnya peranan PGU terbahagi kepada enam tonggak utama iaitu keselamatan dan ketenteraman awam, pencegahan jenayah, sokongan operasi, penerbangan ihsan, penerbangan taktikal dan penerbangan latihan.

“Selain itu PGU turut memberi bantuan dalam menyediakan platform udara kepada agensi-agensi kerajaan selain PDRM, dalam membantu jabatan berkenaan menjalankan tugas dan fungsi masing-masing,” katanya

Beliau berkata PGU sebelum ini dikenali sebagai Unit Udara Polis (UUP) di bawah komander berpangkat DSP dengan jumlah kekuatan 48 pegawai dan anggota, tetapi kini pasukan itu dipimpin komander berpangkat DCP dengan kekuatan keseluruhan 644 orang.

Sementara itu, Komander PGU DCP Datuk Noor Sham Md Jani berkata empat anggota wanita tersebut adalah daripada 36 peserta wanita yang menyertai kursus berkenaan.

“Ini adalah perintis kita untuk juruterbang kapal terbang dan insya-Allah, bulan depan kita akan dapat enam lagi pilot perempuan helikopter pula, pertama kali dalam sejarah Pusat Latihan PGU melatih enam orang berpangkat inspektor wanita,” katanya.

Nur Hidayah yang dinobatkan sebagai Pelatih Penerbangan Terbaik berkata beliau menyertai pemilihan PGU untuk juruterbang kapal terbang pada November 2021 dan telah menghabiskan latihan Julai lepas. 

“Cabarannya kerana kami adalah pilot wanita yang pertama, jadi kami haruslah menunjukkan kebolehan kami sama seperti lelaki dari segi akademik dan dari segi penerbangan,” kata anak keempat daripada tujuh beradik itu.

Bagi Siti Nabila dan Yeoh, mereka menyertai kursus tersebut kerana ingin mencabar diri melakukan sesuatu yang baharu, selain menjadi sumber inspirasi kepada masyarakat dan anggota PDRM yang lain khususnya wanita. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here