BANGKOK, 26 Sept – Ketibaan Poppy Chen dengan Penerbangan XJ761 Thai AirAsia X dari Shanghai, China, di terminal yang sibuk di Lapangan Terbang Suvarnabhumi disambut mesra oleh Perdana Menteri Thailand Srettha Thavisin.

Chen adalah antara 300 pelancong terawal tiba di Thailand selepas negara itu memberikan pengecualian visa sementara untuk penginapan 30 hari bagi tujuan pelancongan, bermula Isnin hingga 29 Feb tahun depan, dalam usaha meningkatkan industri pelancongan negara.

Srettha dan VIP lain menyampaikan cenderahati kepada penumpang, dengan ramai yang mengambil peluang untuk berswafoto dengan perdana menteri baharu Thailand. Penari tradisional turut menghiburkan pelancong dengan persembahan meriah di balai ketibaan.

“Saya memutuskan untuk melawat Bangkok selepas Thailand mengetepikan visa untuk pelancong China.

“Sekarang sangat mudah untuk pelancong China melawat Thailand. Saya menempah penerbangan dan terbang ke sini,” kata Chen kepada Bernama.

Bagi Han Ru, 30, perjalanannya ke Thailand didorong oleh keinginan untuk menikmati suasana  bandar yang meriah, menikmati kelazatan makanan dan menyelami kekayaan budaya. 

“Ini kali kedua saya ke Thailand. Saya akan berada di sini selama lapan hari. Dengan pengecualian visa sementara ini, prosesnya lancar dan sangat mudah bagi rakyat China melawat Thailand. Saya akan kembali semula nanti,” katanya.

Turut hadir pada majlis sambutan itu ialah Menteri Pelancongan dan Sukan, Sudawan Wangsuphakijkosol, Gabenor Pihak Berkuasa Pelancongan Thailand (TAT), Thapanee Kiatphaibool dan Duta China ke Thailand, Han Zhiqiang.

Sementara itu, Srettha menyatakan keyakinan bahawa pengecualian visa sementara akan merangsang ekonomi.

“Keselamatan pelancong akan diutamakan,” katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Suvarnabhumi itu pada Isnin.

Thapanee berkata TAT menetapkan sasaran 500,000 pelancong China melawat Thailand setiap bulan berikutan pengenalan pengecualian visa sementara itu.

“Kami melihat peningkatan yang ketara bermula hari ini. Lapangan Terbang Thailand (AOT) menjangkakan 650,000 pelancong China tiba di Thailand dalam tempoh sebulan, tidak termasuk pelancong China dengan penerbangan sewa khas.

“Kami yakin untuk mencapai lima juta pelancong China ke Thailand tahun ini,” katanya.

China merupakan sumber pelancong penting untuk Thailand, menyumbang 11 juta pelawat atau 27.69 peratus daripada keseluruhan jumlah ketibaan pada 2019, tahun sebelum wabak COVID-19.

Unjuran TAT menunjukkan bahawa bilangan ketibaan pelawat dari China boleh mencecah 4.01 juta hingga 4.4 juta, dan menjana pendapatan pelancongan sebanyak 257.5 bilion baht tahun ini.

Semasa pengecualian visa sementara lima bulan, Thailand dijangka menerima 2,888,500 pelancong China, yang akan menjana pendapatan sebanyak 140.3 bilion Baht.

Dari Januari hingga Sept tahun ini, Thailand menyambut lebih 19 juta pelancong asing setakat ini tahun ini, menjana 795 bilion baht dalam jumlah perbelanjaan pelancong.

Dalam tempoh yang sama, Thailand merekodkan 2,341,080 pengunjung China, mengukuhkan China sebagai sumber pelancongan kedua terbesar selepas Malaysia.

Pengecualian visa juga dilanjutkan kepada pelawat dari Kazakhstan, berkuat kuasa sehingga 29 Feb. sejumlah 150,000 pelancong Kazakhstan dijangka tiba sepanjang 2023, dengan 129,485 dijangka dalam tempoh lima bulan pertama atau peningkatan 49.7 peratus berbanding tempoh sebelumnya dengan menyumbang pendapatan sebanyak 7.93 bilion baht.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here