KUALA LUMPUR, 27 Sept – Program Rangkaian Arkeopelancongan Wilayah Utara (NRAN) di bawah inisiatif Think City akan merangkaikan aset arkeopelancongan dan warisan budaya di utara Semenanjung sebagai pemacu sosioekonomi negara.

Pengarah Urusan Think City Hamdan Abdul Majeed berkata projek bernilai RM10 juta itu bertujuan mewujudkan pekerjaan baharu serta menarik pelaburan di lokasi yang disasarkan, di samping mempamerkan kekayaan warisan dan sejarah negara.

“Program NRAN adalah satu usaha beraspirasi tinggi bagi merangkaikan warisan sejarah yang kaya, lokasi budaya, keindahan alam semula jadi, warisan arkeologi dan monumen di Wilayah Utara.

“Seperti yang ditayangkan dalam dokumentari berimpak tinggi ini serta barisan penerima geran, inisiatif ini turut bertujuan meningkatkan kesedaran dalam kalangan pihak kerajaan, pihak berkepentingan, komuniti setempat serta masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Tayangan Dokumentari dan Pengumuman Penerima Manfaat Program Rangkaian Arkeopelancongan Wilayah Utara Malaysia di sini hari ini.

Program NRAN bertujuan merangkaikan lokasi sejarah dan budaya di seluruh Wilayah Utara, dengan tumpuan awal di Lenggong dan Lembah Bujang yang disokong oleh Yayasan Hasanah, di bawah naungan Kementerian Kewangan.

Sebanyak tiga dokumentari yang ditayangkan iaitu Menjelajah Wilayah Utara Malaysia, Lembah Lenggong: Mencungkil Masa Silam dan Lembah Bujang: Tamadun Terawal Malaysia.

Sementara itu, Profesor Datuk Dr Siti Zuraina Abdul Majid, 78, seorang pakar arkeologi Malaysia berkata inisiatif yang diambil oleh Think City merupakan langkah bijak menyedari dan menghargai bahawa sejarah dan warisan negara adalah aset ekonomi.

“Lembah Lenggong adalah warisan dunia yang diiktiraf oleh UNESCO merupakan aset arkeopelancongan terunggul di Malaysia. Lembah Lenggong telah sedia untuk dibangunkan sejak 2012 lagi setelah ia diiktiraf sebagai tapak warisan dunia oleh UNESCO.

“Lihatlah bagaimana tapak warisan dunia UNESCO yang lain, contohnya Tembok Besar China, piramid di Mesir, Angkor Borobudur telah menterjemahkan aset mereka kepada wang ringgit kemudian mereka bangunkan tapak-tapak ini sambil memelihara nilai-nilai sejagat. Jika nilai sejagat ini terhapus, aset dan modal pelancongan akan juga hilang,” katanya.

Siti Zuraina merupakan ahli arkeologi pertama yang bertanggungjawab dalam penemuan Perak Man serta memacu pengiktirafan Lembah Lenggong sebagai tapak warisan dunia UNESCO.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here