BEIJING, 2 OkT – Presiden Syria Bashar al-Assad berkata China yang pernah dikenali sebagai “kilang dunia” atau “kilang komoditi dunia” kini muncul sebagai  “pusat inovasi dunia”.

Presiden Syria itu berkata demikian dalam wawancara eksklusif dengan Kumpulan Media China (CMG) sempena menghadiri upacara perasmian Sukan Asia di Hangzhou pada 21 hingga 26 September lalu. 

Bashar berkata kali terakhir beliau melawat China kira-kira 19 tahun lalu dan kini menyaksikan sendiri bagaimana kepesatan pembangunan China sepanjang tempoh itu. 

Sempena lawatan itu, Bashar turut mengadakan pertemuan dengan Presiden Xi Jinping di Hangzhou, menyaksikan kedua-dua pemimpin bersama-sama mengumumkan perkongsian strategik China-Syria. 

Bashar berkata China merupakan negara gergasi dan memainkan peranan yang amat penting di arena antarabangsa dan China juga mempertahankan hubungan antarabangsa model baharu, selain menentang hegemonisme. 

“China menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada Syria dan membantu rakyat negara saya mengurangkan penderitaan,” kata Bashar.

Menurutnya, pihaknya akan mengadakan sesi mesyuarat dan perbincangan untuk menetapkan mekanisme untuk mendorong pelaksanaan projek yang dicapai kedua-dua pihak.

Pada Januari tahun lalu, Syria mengumumkan untuk menyertai inisiatif Jalur dan Laluan (BRI). 

Bashar berkata BRI saling melengkapi dengan pelbagai inisiatif yang dikemukakan oleh Presiden Xi termasuk Inisiatif Pembangunan Global (GDI), Inisiatif Keselamatan Global (GSI) dan Inisiatif Peradaban Global (GCI). 

“Pembangunan tidak boleh terpisah dengan keselamatan. Dengan wujudnya pembangunan dan keselamatan, pertalian peradaban, moral dan budaya antara pelbagai negara baru dapat diteruskan.

“BRI bukan sahaja inisiatif China, ia inisiatif seluruh dunia,” kata Bashar.

Beliau berkata pelaksanaan BRI memerlukan kerjasama organisasi antarabangsa supaya dapat dilaksanakan di seluruh dunia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here