PUTRAJAYA, 5 Okt – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) tidak bercadang meneruskan pemberian insentif diskaun bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dalam pembentangan Belanjawan 2024, kata Menterinya Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Bagaimanapun, katanya perkara itu tertakluk kepada keputusan yang dibuat Kementerian Kewangan (MOF).

“Setakat ini, kita telah tidak lagi meneruskan itu (diskaun bayaran balik PTPTN),” katanya kepada pemberita.

Dalam pembentangan Belanjawan 2023, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan bersetuju memberikan diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN sehingga 20 peratus selama tiga bulan bermula 1 Mac hingga 31 Mei lepas.

Selain itu, kerajaan juga bersetuju memberikan penangguhan bayaran balik kepada peminjam berpendapatan bulanan RM1,800 ke bawah untuk tempoh enam bulan bagi meringankan beban kewangan peminjam yang terkesan.

Terdapat empat kategori yang layak menerima insentif ditawarkan iaitu diskaun 20 peratus atas baki hutang untuk penyelesaian penuh pinjaman dan diskaun 15 peratus untuk penyelesaian sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keseluruhan baki hutang.

Selain itu, diskaun 15 peratus akan diberikan untuk bayaran balik melalui potongan gaji atau Debit Terus mengikut jadual bayaran balik dan diskaun lima peratus untuk bayaran balik melalui aplikasi myPTPTN.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata KPT memberi tumpuan kepada tiga perkara dalam Belanjawan 2024 iaitu pendigitalan, penyelidikan dan inovasi serta kediaman pelajar.

“Kita (KPT) mengharapkan supaya kerajaan menyokong permohonan kita untuk kita menerap dan mengaplikasi pendigitalan dalam kita menjayakan dan mengurus mentadbir ekosistem pendidikan tinggi dalam negara.

“Kita percaya melalui pendigitalan akan dapat meningkat dan melonjakkan lagi usaha kita untuk memastikan terus cemerlang dalam sektor pendidikan tinggi,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here