KUALA LUMPUR, 5 Okt – Malaysia bersedia untuk bekerjasama dengan negara Asean lain, serta peserta industri, pembiaya, dan usahawan teknologi, untuk masa depan yang holistik dan mampan bagi rantau ini, kata Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Beliau berkata Malaysia perlu bekerja dalam kerangka Asean untuk berhasil dalam usaha menangani perubahan iklim, dan Asean yang mampan adalah penting ke arah mencapai Abad Asia.

Abad Asia merujuk kepada pengaruh atau kuasa besar yang dijangka dilaksanakan negara-negara Asia pada abad ke-21 susulan ekonominya berkembang pesat dan demografi belia.

“Semangat Asean yang luar biasa yang memastikan keamanan dan kemakmuran di kebanyakan wilayah sehingga kini mesti beralih ke arah menangani cabaran paling kewujudan pada masa depan, iaitu perubahan iklim dan usaha untuk peralihan tenaga yang adil,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Sidang Kemuncak AtoZero Asean di sini, pada Rabu.

Sidang kemuncak itu ialah acara kemuncak Pameran dan Persidangan Teknologi Hijau dan Produk Eko Antarabangsa Malaysia (IGEM) 2023 — mengetengahkan kalangan pembuat keputusan utama yang meneroka kaedah, dasar dan peluang perniagaan untuk memacu agenda peralihan kepada pelepasan karbon sifar bersih global.

Nik Nazmi berkata menjelang 2040, Pusat Tenaga Asean menganggarkan pelepasan karbon dioksida boleh meningkat sebanyak 147 peratus berbanding paras pada 2017.

“Sememangnya, Asean sebagai sebuah rantau boleh kehilangan 37.4 peratus daripada KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) semasa pada 2048 jika mitigasi perubahan iklim tidak dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata itulah yang menjadikan Asean antara yang paling rentan di rantau Asia kepada perubahan iklim.

Beliau berkata untuk mencapai matlamat neutral karbon, Asean mesti merapatkan jurang karbon dioksida 2.6 gigaton.

Berdasarkan analisis oleh Boston Consulting Group, mencapai keneutralan karbon boleh menghasilkan nilai tambah KDNK sebanyak US$3.0 hingga US$5.3 trilion menjelang 2050, menarik pelaburan hijau sehingga US$6.7 trilion di samping menjana lebih 60 juta pekerjaan tambahan.

Mengenai usaha Malaysia, beliau berkata kerajaan melancarkan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) untuk merangka secara menyeluruh trajektori negara ke arah masa depan yang lebih cerah, bersih dan berdaya tahan.

Kejayaan pelaksanaan NETR akan melonjakkan nilai KDNK Malaysia daripada RM25 bilion pada 2023 kepada RM220 bilion dan menjana 310,000 pekerjaan pada 2050.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here