KUALA LUMPUR, 9 Okt – Sebanyak 5,873 tapak 5G telah siap dibangunkan setakat 30 Sept, dengan perkhidmatan itu kini mencapai 70.2 peratus liputan di kawasan berpenduduk.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata bagi jumlah langganan perkhidmatan 5G pula, sebanyak 2.49 juta direkodkan bersamaan 7.4 peratus kadar penembusan.

“Sehingga kini, enam syarikat pemberi perkhidmatan mudah alih telah menawarkan pelan komersial 5G iaitu CelcomDigi, Maxis, U Mobile, Telekom Malaysia, YTL Communications dan Yoodo,” katanya semasa sesi soal jawab pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Johari Abdul Ghani (BN-Titiwangsa) tentang status pembangunan rangkaian 5G setakat ini dan jumlah langganan yang telah diterima menerusi perkhidmatan rangkaian 5G.

Fahmi berkata pelaksanaan rangkaian 5G ketika ini sedang giat dijalankan oleh Digital Nasional Berhad dengan sasaran untuk menyiapkan 7,509 tapak 5G di seluruh negara, meliputi 80 peratus liputan di kawasan berpenduduk.

Pada masa yang sama, beliau berkata Pakej 5G RAHMAH yang dilancarkan pada 31 Ogos lepas telah menerima sebanyak 50,991 langganan setakat hujung September.

Dalam sesi berkenaan, Fahmi turut memaklumkan bahawa pelaksanaan 5G di Malaysia adalah yang terpantas jika dibandingkan dengan rangkaian 4G yang dilaksanakan sebelum ini.

Menurutnya, jika dibuat perbandingan antara syarikat, U Mobile adalah yang terpantas dalam pelaksanaan 4G dengan pembinaan 2,000 menara dalam setahun, manakala bagi DNB pula, lebih 3,500 menara untuk 5G telah dibina pada tahun pertama.

“Mengenai sustainability, dalam banyak negara termasuk Republik Korea, tahap penembusan bagi 5G mencecah lebih 95 peratus, kadar penembusan dalam kalangan pengguna memang rendah, tidak lebih 50 peratus,” katanya.

Beliau berkata pelancaran Rangkaian Persendirian 5G komersial pada Khamis lepas yang menyaksikan Petronas sebagai syarikat pertama yang menggunakannya ialah satu daripada perkara penting menunjukkan kemampuan 5G akan dapat dimaksimumkan oleh syarikat-syarikat perusahaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here