KUALA LUMPUR, 14 Okt – Peruntukan RM10 juta kepada Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) dalam Belanjawan 2024, akan digunakan untuk memastikan amalan kartel dan pakatan harga yang memberikan impak negatif kepada rakyat dan negara, dapat diatasi dan ditangani dengan lebih berkesan.

Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Armizan Mohd Ali dalam satu kenyataan berkata kementeriannya komited untuk bersama menggerakkan agenda subsidi bersasar, khususnya dalam konteks mengurangkan ketirisan subsidi melalui pemantauan dan penguatkuasaan.

“KPDN akan mengambil langkah proaktif bagi memastikan kebajikan dan kepentingan pengguna dilindungi dan pada masa yang sama sektor peruncitan dan perdagangan domestik negara berkembang maju,” katanya.

Sementara itu ketika ditemui di Kuala Terengganu, Amrizan berkata KPDN menerusi MyCC akan menambah bilangan pegawai penyiasat dalam menangani isu tersebut, dan memastikan industri atau syarikat yang berkaitan tidak berpakat menaikkan harga dengan sewenang-wenangnya.

“Setakat ini, kita ada seramai 17 pegawai penyiasat di MyCC dan ia perlu ditambah lagi untuk membantu kerajaan memantau isu berkaitan dengan kartel, seperti penipuan dalam bidaan, ketirisan projek-projek yang ditender dan sebagainya,” katanya selepas merasmikan program Hari Sukan Negara 2023 Peringkat Negeri Terengganu di Dataran Batu Buruk, hari ini.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa membentangkan Belanjawan 2024 mengumumkan peruntukan sejumlah RM10 juta sebagai tumpuan kerajaan untuk menghapuskan amalan parasit itu, melalui langkah kawalan ketat dan menyeluruh oleh KPDN, di samping memperkukuh kapasiti dan fungsi MyCC.

Amrizan berkata bagi menjayakan hasrat penyasaran semula subsidi, hubungan perdagangan antara pembeli dan penjual haruslah jujur, walaupun tidak menafikan hak peniaga untuk mengaut keuntungan yang munasabah, tetapi gejala kartel dan pakat harga yang menyebabkan kenaikan harga berlebihan dan tidak terkawal bertentangan dengan prinsip MADANI.

Dalam perkembangan lain Amrizan dalam kenyataan berkata Belanjawan 2024 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam turut menyentuh mengenai usaha memperhebatkan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) melalui peruntukan sebanyak RM12 juta yang bertujuan memastikan produk tempatan mendapat tempat di hati rakyat.

Beliau berkata peruntukan sebanyak RM200 juta bagi pelaksanaan Program Jualan Rahmah dan Pasar Rahmah akan membolehkan golongan sasar daripada kumpulan berpendapatan rendah dan sederhana, mendapat akses kepada barangan keperluan asas pada harga yang lebih rendah.

“Kebajikan penduduk luar bandar akan terus diberi perhatian dengan memastikan ketersediaan bekalan barang keperluan asas menerusi Program Pengedaran Barangan Perlu, LPG dan Community Drumming.

“Sebanyak RM225 juta diperuntukkan bagi membiayai program sedia ada termasuk peluasan ke kawasan baharu antaranya di Zon Abai, Sandakan, Sabah dan Engkerabai, Mukah, Sarawak,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here