BEIJING, 19 Okt — Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) merupakan rakan penting dalam pembangunan bersama di bawah Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI). 

China bersedia berusaha bersama dengan agensi PBB menggerakkan pembangunan berkualiti tinggi demi menyumbang kepada kedamaian dan pembangunan dunia. 

Demikian kata Presiden China Xi Jinping ketika bertemu Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres yang menghadiri Forum Kerjasama Antarabangsa Jalur dan Laluan (BRF) edisi ketiga di Dewan Besar Rakyat di Beijing, pada Rabu.

“Mendepani ancaman dan cabaran global pada masa ini, masyarakat antarabangsa perlu bersatu-padu dan bekerjasama dan menumpukan perhatian lebih besar terhadap isu pembangunan. 

“Saranan yang saya kemukakan untuk membentuk komuniti berkongsi nasib sesama insan, bertujuan mencari pendekatan yang tepat untuk mengatasi cabaran sejagat melalui koordinasi pelbagai pihak.

“BRI dan Inisiatif Pembangunan Sejagat (GDI) adalah untuk mencetuskan tenaga positif dengan sebanyak mungkin bagi menggalakkan pembangunan bersama pelbagai negara.

“Ia sekali gus membantu melancarkan pelaksanaan Agenda Mampan 2030 PBB dan memastikan tiada negara ketinggalan dalam arus pembangunan,”  kata Xi.

China menyokong tugas PBB dan Guterres, bersedia mengeratkan kerjasama dengan badan dunia itu untuk mempergiat amalan multilateralisme, membentuk multipolar dunia dan menggerakkan tadbir urus dunia ke arah lebih adil dan rasional. 

Guterres berkata lapan aspek yang diumumkan Presiden Xi dalam forum itu sangat bertepatan dengan tujuan dan sasaran PBB, dan kondusif bagi negara membangun mempercepat langkah dalam pembangunan domestiknya. 

PBB menghargai pendirian China yang memelihara amalan multilateralisme, menyokong tiga inisiatif anjuran Xi yang melibatkan lingkungan global dan komited menghalusi kerjasama dengan China.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here