KUALA LUMPUR, 26 Okt – Kementerian Perladangan dan Komoditi sedang membuat kajian pembangunan Single Nucleotide Polymorphism Markers For Hevea Brasiliensis atau teknologi genom untuk menghasilkan klon pokok getah yang berkualiti tinggi serta tahan penyakit.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Fadillah Yusof berkata ia merupakan satu daripada kajian dan penyelidikan (RnD) yang dijalankan kementerian sebagai perancangan jangka panjang untuk membantu meningkatkan pengeluaran hasil getah oleh pekebun kecil.

Menurut Fadillah ini kerana antara cabaran utama dihadapi pekebun kecil ialah penyakit kepada pokok getah terutama penyakit akar putih yang menjejaskan produktiviti dan hasil pengeluaran komoditi itu.

“Kita juga memberi penumpuan kepada RnD melibatkan penanaman benih menggunakan mesin dan kaedah torehan secara automasi kerana kualiti torehan yang baik akan memberi kesan tambah kepada produktiviti pengeluaran getah.

“Begitu juga kaedah penuaian dan pemasaran yang kita juga mahu kembangkan bagi memastikan produk kita kekal dan boleh diterima di peringkat antarabangsa,” katanya pada waktu pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Fadillah berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Adnan Abu Hassan (BN-Kuala Pilah) yang ingin tahu perancangan jangka pendek dan jangka panjang kerajaan untuk membantu pekebun kecil getah.

Menjawab soalan asal Adnan mengenai inisiatif kerajaan bagi membantu pekebun kecil getah yang berhadapan dengan cabaran harga getah rendah, Fadillah berkata antara langkah dilakukan ialah menerusi Projek Transformasi Perusahaan Getah Negara (TARGET).

Beliau berkata projek itu dijangka dapat menambah nilai getah seterusnya meningkatkan pulangan dan pendapatan yang lebih baik kepada pekebun kecil getah.

“Setakat Ogos 2023, enam peserta program TARGET terdiri daripada koperasi dan pengusaha telah melepasi fasa inkubator. Peringkat seterusnya adalah pemantauan bagi proses pembukaan Pusat Pengumpulan Getah Krip di lokasi yang bersesuaian,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Datuk Azman Nasrudin (PN-Padang Serai) mengenai bantuan kerajaan kepada pekebun kecil getah bagi merawat penyakit luruhan daun getah, Fadillah berkata kementerian melalui Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) memang menyediakan peruntukan dan bantuan berkaitan itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here