CYBERJAYA, 27 Okt – Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) akan mencuba sedaya upaya untuk memenuhi permintaan yang dikemukakan ahli jawatankuasa pro tem Majlis Media Malaysia (MMC) berhubung penubuhan majlis itu, kata Timbalan Menterinya Teo Nie Ching.

Beliau berkata mencapai konsensus bagi perkara paling mustahak adalah keutamaan KKD untuk memastikan Rang Undang-Undang (RUU) penubuhan MMC dapat dibentangkan secepat mungkin, sekurang-kurangnya pada sidang pertama Dewan Rakyat tahun hadapan.

“Senarai perkara yang diharapkan jawatankuasa pro tem itu sangat panjang, namun bukan semua boleh dipenuhi secara serta-merta, tetapi bagaimana untuk mewujudkan MMC terlebih dahulu (adalah lebih penting),” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Persidangan Pasca Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023 di sini hari ini.

Teo berkata satu mesyuarat bersama jawatankuasa pro tem MMC akan diadakan Jumaat depan bagi memuktamadkan beberapa perkara berkenaan RUU itu sebelum libat urus bersama pihak berkepentingan diadakan.

“Pihak berkepentingan itu termasuk Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Peguam Negara dan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri,” katanya.

Teo berkata penubuhan MMC merupakan komitmen kerajaan yang perlu direalisasikan manakala MMC akan bertanggungjawab untuk mewujudkan ‘tatakelakuan’ dalam bidang penulisan berita.

“Mungkin ada media yang buat salah atau ada agensi media yang mempunyai agenda yang tersendiri.. jadi siapa yang akan dipertanggungjawabkan untuk ambil tindakan? Itulah pentingnya wujudkan MMC supaya peranan ini boleh dimainkan oleh mereka,” katanya.

MMC akan meliputi semua jenis media di Malaysia iaitu media cetak, elektronik dan dalam talian yang akan memperkasa dan memastikan kebebasan media serta hak-hak pengamal media dipelihara sementara memastikan pengamalan media yang lebih bertanggungjawab.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here