KUALA LUMPUR, 9 Nov – Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) telah memulakan misi perdagangan dan pelaburannya ke Amerika Syarikat (AS) dari 6 hingga 13 Nov, meliputi bandar Chicago, Seattle dan San Francisco.

Menurut MITI dalam kenyataan hari ini, misi itu akan diketuai oleh Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, mulai 8 Nov dan seterusnya, dengan wakil peringkat tinggi daripada kementerian dan agensinya, iaitu Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

Keutamaan misi itu ialah teknologi tinggi, pelaburan langsung asing (FDI) bernilai tinggi serta eksport barangan dan perkhidmatan Malaysia, katanya.

Katanya pertemuan perniagaan telah diatur dengan syarikat dalam sektor seperti aeroangkasa, kimia, elektrik dan elektronik (E&E) termasuk semikonduktor, farmaseutikal, teknologi bateri kenderaan elektrik (EV), peralatan perubatan, sains hayat, perkhidmatan awan dan logistik.

“Ini adalah sektor yang dijangka meningkatkan kerumitan ekonomi pembuatan Malaysia seperti yang ditetapkan oleh Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) yang akan membantu menjana limpahan perniagaan dengan nilai lebih tinggi untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kita serta kualiti yang lebih baik, pekerjaan dengan gaji yang lebih tinggi untuk rakyat,” menurut MITI.

Misi itu akan mengadakan pertemuan dengan beberapa syarikat utama termasuklah Abbott Laboratories, Amazon Web Services, Amsted Rail, Boeing, Canadian Tire Corporation, Ford Motor Company, Global Agri-Trade Corporation, Hematogenix, Lam Research, Mondelez International, Nvidia, PerkinElmer dan Unigen Corporation.

Menurut MITI, bersempena dengan kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Minggu Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di San Francisco dari 14 hingga 18 Nov, akan turut diadakan pertemuan perniagaan yang diatur dengan wakil peringkat tinggi daripada syarikat seperti Google, Enovix, Microsoft dan TikTok.

Pada 2022, kementerian berkongsi bahawa perdagangan dua hala Malaysia-AS berjumlah RM267.58 bilion, mewakili peningkatan 23.3 peratus tahun ke tahun daripada RM216.97 bilion pada 2021. AS adalah rakan dagang ketiga terbesar Malaysia dan destinasi eksport ketiga terbesar.

Menurut MITI, produk E&E Malaysia membentuk peratusan terbesar atau 57.4 peratus daripada jumlah nilai eksport ke AS, yang meletakkan Malaysia dalam kedudukan yang baik untuk mengembangkan sektor bernilai tinggi yang lain yang juga banyak bergantung kepada cip dan semikonduktor.

Sehingga 2022, katanya nilai bersih FDI Malaysia dalam syer dari AS sebanyak RM100.84 bilion, dengan RM77.74 bilion (77.1 peratus) daripada jumlah tersebut disumbangkan oleh sektor pembuatan.

Bagi tempoh 1980 hingga Jun 2023, sejumlah 1,295 projek pembuatan dengan penyertaan syarikat AS telah diluluskan, dengan jumlah pelaburan bernilai RM123.58 bilion, menjana pekerjaan untuk 308,310 orang di Malaysia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here