KUALA LUMPUR, 15 Nov – Fokus Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) kini lebih kepada penyediaan liputan internet di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA), kem tentera dan juga lebuh raya dalam mencapai sasaran 100 peratus liputan internet di kawasan berpenduduk menjelang 2025.

Ketua Pegawai Operasi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Datuk Mohd Ali Hanifiah Mohd Yunus berkata sejak JENDELA dilancarkan pada 2020, liputan internet di kawasan berpenduduk telah diperluas sehingga 97.03 peratus setakat suku ketiga tahun ini dengan kelajuan purata jalur lebar mudah alih melebihi 100 megabit sesaat (Mbps).

“Kita banyak dapat permintaan contohnya di IPTA, kem-kem tentera dan juga lebuh raya, jadi bila ada permintaan kita akan jalinkan kerjasama dengan kementerian berkaitan, tetapi isunya adalah untuk kita dapatkan akses ke dalam kawasan-kawasan ini untuk dirikan menara.

“Adakalanya ambil masa yang agak lama mungkin atas isu-isu komersial, begitu juga di kem tentera yang mungkin melibatkan isu keselamatan dan sebagainya. Di lebuh raya juga kita berdepan dengan isu mendapatkan tapak untuk membina menara tetapi semua ini dalam proses, mungkin ada yang ambil masa singkat, ada juga yang mengambil masa agak lama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara: Bicara MCMC bertajuk ‘Perkembangan JENDELA di Malaysia menjelang 2024’ terbitan Bernama TV malam tadi.

Mengenai ketersambungan 5G yang telah dimulakan sejak 2021, liputan kini telah mencapai 73 peratus populasi dalam kawasan berpenduduk setakat Oktober lepas.

“Pelaksanaan 5G mengikut perancangan awal akan dilaksanakan pada tahun ini tetapi melihat kepada negara jiran yang telah mula melaksanakan 5G lebih awal maka kita awalkan pelaksanaan.

“Kita mulakan di Putrajaya, Cyberjaya dan Lembah Klang dan daripada situ kita sudah membangunkan 500 tapak lokasi melalui ‘special purpose vehicle’ yang telah dilantik kerajaan iaitu syarikat Digital Nasional Berhad (DNB). Kalau nak ditengokkan ini adalah ‘one of the fastest growing 5G network not within the region but even within the world,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Pusat Ekonomi Digital MCMC Jacinta Felix yang menjadi tetamu program Ruang Bicara bertajuk ‘Persidangan Pusat Ekonomi Digital (PEDi)’, berkata peranan PEDi dalam pembangunan keusahawanan digital akan terus diperkasa dalam hala tuju terbaharu yang akan diumumkan pada Persidangan PEDi, 29 Nov depan.

Beliau berkata Persidangan PEDi yang buat julung kalinya diadakan itu akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.

“Kita sasarkan 3,500 peserta terdiri daripada usahawan PEDi, koloborator digital, pengurus PEDi yang akan berkongsi maklumat dan pengalaman dalam aspek pembanguanan keusahawanan, penciptaan peluang pekerjaan dan peningkatan kemahiran.

“Sebagai menghargai sumbangan dan jasa baik pengurus dan penolong pengurus PEDi yang telah lama berkhidmat bagi manfaat komuniti setempat di seluru negara, pihak MCMC telah menyediakan lima anugerah iaitu Anugerah PEDi Terbaik, Anugerah Pengurus Terbaik, Anugerah Penolong Pengurus Terbaik, Anugerah Khas dan Anugerah Usahawan Terbaik,” katanya.

Katanya PEDi yang berfungsi untuk menyediakan akses internet di kawasan kurang liputan perkhidmatan turut berperanan dalam meningkatkan taraf sosioekonomi penduduk setempat melalui pelbagai program latihan kursus asas komputer, multimedia serta teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) termasuk latihan keusahawanan digital.

“PEDi telah membantu 27,000 usahawan sejak 2017 hingga kini dalam usaha mendigitalisasikan perniagaan mereka.

“PEDi kini memberi focus bagi pembangunan keusahawanan digital agar lebih ramai usahawan kecil dan mikro dapat mendigitalisasikan perniagaan mereka dan terlibat dalam ekonomi digital sekali gus meningkatkan pendapatan mereka,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here