SHAH ALAM, 15 Nov – Kerajaan Selangor akan meneruskan penggubalan dan pewartaan enakmen atau undang-undang kecil pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam bagi menangani isu pembuangan sampah haram di negeri itu. 

Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri Ng Suee Lim berkata setakat ini, sebanyak 57 tapak pembuangan sampah haram aktif dikenal pasti, dengan kawasan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 18 tapak diikuti Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) sebanyak 13 tapak.

Ng berkata akta sedia ada iaitu Akta Kerajaan tempatan 1976 tidak mencukupi untuk mengawal operasi tapak pembuangan sampah yang membenarkan pihak berkuasa tempatan (PBT) membuat undang-undang kecil.

“Penguatkuasaan bagi Selangor ketika ini adalah terhad di bawah kuasa Undang-Undang Kecil Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah 2007. Denda bagi pembuangan sampah maksimum RM2,000 sahaja. Selain itu, ia turut mengehadkan tindakan yang boleh diambil kepada pengusaha atau operator tapak sampah haram.

“Kerajaan negeri sedar dan telah berusaha menambah baik undang-undang berkaitan aktiviti pembuangan sampah dengan menggubal Enakmen Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam pada 2020. Namun, perkara itu tidak mendapat sambutan daripada kerajaan Persekutuan pada 2019 dan 2020,” katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan daripada Cheong Kian Young (PH-Kajang) berkenaan keberkesanan akta sedia ada dan senarai tapak pembuangan sampah haram aktif di Selangor.

Ng yang juga ADUN Sekinchan memaklumkan cadangan penggubalan Undang-Undang Kecil Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah Sarap 2007 kepada Undang-Undang Kecil Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam dibentang pada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada Disember 2022.

“Terkini, MMKN pada Jun lepas telah menimbang dan menolak cadangan pemakaian Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 bagi Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam Selangor.

“MMKN bersetuju supaya penggubalan dan pewartaan enakmen atau undang-undang kecil diteruskan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa. Oleh demikian, cadangan draf penggubalan ini sedang diteliti dan dibincangkan semula dengan semua PBT Selangor sebelum diangkat kepada pertimbangan pihak berkuasa negeri,” katanya. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here