KUALA LUMPUR, 17 Nov – Semua organisasi diseru untuk berganding bahu mempromosikan inisiatif memperkasa elemen keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) yang dijalankan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Menteri Sumber Manusia V. Sivakumar berkata ia sekali gus melindungi dan meningkatkan keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan pekerja secara umum.

“Antaranya Promosi Kesihatan di Tempat Kerja, Pencegahan Kemalangan Dalam Perjalanan dan Vision Zero.

“Program-program ini dirangka, dirancang dan dilaksanakan dengan penuh perhatian agar objektif mengurangkan kadar kemalangan dapat dikurangkan,” katanya ketika berucap merasmikan majlis Anugerah Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan MSOSH (MSOSH OSH Awards) ke-41 anjuran Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MSOSH) di sini hari ini.

Majlis Anugerah MSOSH OSH 2023 ke-41 sebagai penghormatan kepada organisasi yang mencapai kejayaan dalam pencapaian Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 2022.

Satu daripada faktor penilaian penting anugerah berkenaan adalah keupayaan organisasi untuk mengurangkan kadar kemalangan di tempat kerja dan penyakit pekerjaan sepanjang 2022.

Organisasi terkemuka yang diiktiraf pada majlis berkenaan termasuk Petronas, FGV Holdings Berhad, Sarawak Energy Petron, Sunway Group, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), KPJ dan Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB).

Sementara itu, Sivakumar berkata Anugerah MSOSH OSH merupakan satu penunjuk aras KKP yang signifikan terhadap organisasi dalam negara.

“Ini juga menunjukkan peranan MSOSH sebagai satu badan bukan kerajaan (NGO) utama dan terulung dalam memartabatkan isu-isu KKP di Malaysia,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here