PUTRAJAYA, 23 Nov – Kerajaan menggunakan platform Pengurusan Maklumat Geospatial Pertahanan (DGIM) adalah untuk memastikan pengurusan bencana banjir pada Monsun Timur Laut (MTL) kali ini lebih sistematik dan lancar berbanding sebelum ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali.

Beliau berkata platform yang dibangunkan oleh Bahagian Geospatial Pertahanan, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) itu bukan sahaja menginterasikan maklumat bencana, mala boleh diakses oleh badan bukan kerajaan (NGO) untuk misi kemanusiaan ketika banjir.

“Data terkini dari pelbagai agensi itu boleh menjadi rujukan untuk uruskan bencana seperti meningkatkan lagi kesiapsiagaan, atur gerak operasi tindak balas bencana dan mengetahui jumlah bantuan kepada mangsa serta menjadi input penyediaan laporan kerosakan dan nilai akibat bencana.

“Untuk bantuan kemanusiaan yang dilakukan oleh NGO, perkongsian maklumat jenis keperluan dan bantuan yang diperlukan bagi kawasan tertentu perlu untuk mengelakkan lambakan bantuan yang bukan keperluan di situ,” katanya pada sesi libat urus bencana dengan media dan rakan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) di Markas SMART di Pulau Meranti, dekat sini hari ini.

Armizan berkata Dashboard Bencana pada platform DGIM yang digunakan oleh Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) adalah bagi meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi bencana yang dipantau sepanjang hari.

Bagaimanapun, katanya platform DGIM hanya digunakan di peringkat pusat melalui bilik operasi NDCC dan akan ditambah baik dengan melaksanakan lebih banyak proses perkongsian data yang penggunaannya akan diperluas ke peringkat negeri dan daerah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here