KUALA LUMPUR, 24 Nov – Sebanyak 3,650 permohonan bagi program bantuan geran (termasuk geran di bawah latihan keusahawanan) telah diterima sehingga Oktober lepas, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick. 

Beliau berkata daripada jumlah tersebut, sebanyak 2,410 permohonan telah diluluskan dengan peruntukan sebanyak RM67.4 juta dan RM45 juta telah disalurkan untuk manfaat kepada 1,974 usahawan.

“Penyaluran pembiayaan kepada usahawan yang dilaksanakan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) melalui agensinya adalah melalui dua kaedah iaitu pinjaman dan geran.

“Agensi seperti Tekun Nasional, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Bank Rakyat dan SME Bank menyediakan pembiayaan dalam bentuk pinjaman. Hanya SME Corp yang menyediakan pembiayaan melalui geran,” katanya melalui jawapan bertulis Dewan Rakyat yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Cha Kee Chin (PH-Rasah) mengenai permohonan geran yang ditawarkan oleh Kuskop dan penyalurannya kepada pemohon yang layak memandangkan masih ramai peniaga perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang tidak menerima bantuan geran kerajaan.

Ewon berkata di bawah Belanjawan 2023, SME Corp telah menyediakan bantuan kewangan secara geran bernilai RM89 juta bagi program pembangunan PMKS.

Bantuan kewangan secara geran itu adalah Skim Peningkatan Kapasiti dan Keupayaan PKS (BAP) berjumlah RM25 juta; Peningkatan Enterpris Bumiputera (BEEP) sebanyak RM30 juta; Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) sebanyak RM10 juta; Pembangunan Perniagaan Usahawan Mikro (BizME) berjumlah RM5 juta; Galakan Eksport Bumiputera (GEB) sebanyak RM10 juta; Pengukuhan Eksport PKS berjumlah RM5 juta; Peningkatan Industri Strategik dan Syarikat Berprestasi Tinggi (PRESTIGE) sebanyak RM3 juta; dan Inovasi Inklusif (I-SEE) berjumlah RM1 juta, katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here