KUALA LUMPUR, 27 Nov – Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) menerusi Lembaga Getah Malaysia (LGM) akan terus giat membantu meningkatkan pendapatan pekebun kecil sektor getah dengan melaksanakan pelbagai insentif, kata Timbalan Menteri berkenaan Siti Aminah Aching.

Beliau berkata antara insentif itu adalah Insentif Pengeluaran Getah (IPG) dan Projek Rintis Penambahbaikan kepada Insentif Pengeluaran Lateks Model Baharu (IPL).

“Kerajaan dalam pembentangan Belanjawan 2024 telah bersetuju untuk menaikkan kadar Paras Harga Pengaktifan (PHP) bagi IPG dari RM2.70 ke RM3.00 sekilogram dengan peruntukan sebanyak RM400 juta. 

“Sehingga Oktober 2023, Pemberian IPG telah memberi manfaat kepada 219,419 pekebun kecil dengan pembayaran berjumlah RM481.24 juta,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara, di sini hari ini. 

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Datuk Dr Nuing Jeluing yang meminta kementerian menyatakan langkah berkesan untuk membantu pekebun kecil industri getah dan koko memandangkan harga komoditi itu sangat rendah pada masa ini.

Bermula 23 Okt 2023, LGM telah mengembangkan pelaksanaan program lateks ke seluruh negara, katanya sambil memaklumkan projek rintis IPL model baharu ini diharap dapat menarik penglibatan lebih ramai pekebun kecil.

“Usaha ini akan melibatkan penjualan terus ke kilang dengan mengurangkan kos pengangkutan dan pekebun kecil akan menerima harga lebih kompetitif. Projek rintis ini akan dimulakan melalui kluster pekebun kecil di Perak, Kedah dan Sabah,” katanya. 

Menurut Siti Aminah, di peringkat antarabangsa, kerajaan akan bekerjasama dengan negara pengeluar getah utama dunia di bawah kerangka Majlis Getah Tiga Pihak Antarabangsa (ITRC) dan Persatuan Negara-negara Pengeluar Getah Asli (ANRPC) untuk menstabilkan harga getah menerusi langkah pengurusan bekalan dan meningkatkan penggunaan getah asli.

Bagi sektor koko, Siti Aminah berkata KPK menerusi Lembaga Koko Malaysia (LKM) akan terus membantu pekebun kecil, antaranya akan melaksanakan Program Pemulihan Kebun Koko dari 2024 sehingga 2025 dengan peruntukan berjumlah RM 9.5 juta di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Program itu mampu menampung keperluan input pertanian bagi peningkatan produktiviti koko oleh pengusaha sedia ada tanaman itu, katanya.

Selain itu, beliau berkata KPK memperluas kawasan penanam koko menerusi Program Rangsangan Pengeluaran Hasil Koko yang melibatkan skop pakej tanaman baharu koko integrasi dengan tanaman lain yang telah dilaksanakan tahun ini dengan sasaran seluas 200 hektar, melibatkan kos RM5.2 juta di seluruh negara.

Menurut Siti Aminah kementerian turut menubuhkan koperasi di bawah inisiatif Program Rantaian Kluster Koko dengan harga yang ditawarkan oleh Koperasi Kluster Koko di ketiga-tiga wilayah bagi biji koko biasa dan premium adalah lebih tinggi daripada pasaran.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here