KUALA LUMPUR, 27 Nov – Program Sumbangan Tunai Rahmah (STR) atau mana-mana program bantuan bersifat tunai dan tanpa tunai akan memberi impak yang tinggi kepada golongan B40 dalam merancakkan ekonomi melalui aktiviti perbelanjaan, kata Timbalan Menteri Kewangan I Datuk Seri Ahmad Maslan. 

Beliau berkata STR merupakan bantuan tunai tertinggi dalam sejarah yang pernah diberikan yang mana kerajaan sentiasa cakna dengan perkembangan semasa terutamanya melibatkan situasi ekonomi dan kos sara hidup rakyat.

“Kerajaan melihat aspek kitaran ekonomi ke atas peniaga kecil atau perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang menerima kesan perbelanjaan daripada golongan B40 ini.

“STR itu bukan sahaja bagi membantu golongan B40, malahan juga kesan gandaan kepada industri yang berkenaan,” katanya di Dewan Negara hari ini. 

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Mustafa Musa meminta Menteri Kewangan menyatakan mekanisme pemberian Sumbangan Tunai Rahmah (STR) 2024 dan sejauh mana sasaran kerajaan agar skim ini akan meringankan beban kumpulan B40 serta mengurangkan kesan kenaikan kos sara hidup.

Pada 2024, sebanyak RM10 bilion disediakan untuk program STR bagi memanfaatkan hampir 9 juta penerima, ia merupakan bantuan kerajaan kepada golongan berpendapatan rendah serta sederhana yang benar-benar berkelayakan dan memerlukan bagi mendepani cabaran kos sara hidup.

Mekanisme pemberian STR sedia ada adalah secara terus kepada penerima melalui dua kaedah, iaitu dikreditkan terus ke akaun bank penerima yang didaftarkan dalam pangkalan data STR; atau penerima yang tiada akaun bank akan menerima bayaran secara tunai di Cawangan BSN seluruh negara.

Penerima di kawasan pedalaman Sabah serta Sarawak yang tidak mempunyai akaun bank pula, kaedah pembayaran adalah secara tunai yang akan diselaraskan oleh Perbendaharaan Malaysia Sabah dan Sarawak.

Ahmad berkata mereka yang mendapat STR, sekiranya meninggal dunia akan diberi khairat kematian iaitu suami atau isteri yang mati akan dapat RM1,000 dan sekiranya dua-dua meninggal dunia, khairat kematian RM2,000 akan diberi kepada waris.  

“Perkara ini tidak sukar, waris hanya perlu pergi ke BSN atau Lembaga Hasil untuk pengesahan dengan membawa sijil kematian dan juga pengenalan diri bahawa mereka waris kepada si mati dan kita akan mempercepatkan segala urusan supaya boleh diserahkan kepada waris yang meninggal dunia,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata sebagaimana yang diperkenalkan pada tahun ini, Sumbangan Asas Rahmah atau SARA juga merupakan salah satu komponen dalam STR yang bertujuan menyediakan bantuan tanpa tunai melalui kad pengenalan kepada penerima STR kategori miskin tegar untuk mendapatkan keperluan barangan asas terutamanya makanan.

SARA merupakan satu bentuk bantuan kerajaan yang menjamin keperluan asas gologan miskin tegar.

“Pada 2023, sebanyak RM100 disediakan setiap bulan selama enam bulan melalui kad pengenalan bagi mereka mendapatkan keperluan asas.

“Menjelang 2024 pula, kerajaan telah bersetuju untuk memperluaskan SARA kepada penerima STR kategori miskin dan melanjutkan pemberian RM100 setiap bulan selama 12 bulan,” katanya. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here