KUALA LUMPUR, 27 Nov – Malaysia memiliki kelebihan tersendiri yang membantunya mengekalkan kedudukan sebagai destinasi pilihan pelabur global, meskipun tidak mempunyai pendirian yang sama dengan negara asal pelabur dalam isu berkaitan Palestin-Israel. 

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong berkata kedudukan Malaysia yang strategik di Asia Tenggara iaitu di antara India dan China membolehkan pelabur memanfaatkan akses pasaran yang luas dan ekosistem pelaburan yang kukuh serta menikmati ketersediaan persekitaran perniagaan yang kondusif.

“Dari segi pendirian negara, Malaysia tidak menjalinkan sebarang hubungan diplomatik dengan Israel mahupun hubungan ekonomi dan perdagangan secara langsung. Dari segi pelaburan langsung asing (FDI), tiada sebarang pelaburan dari Israel atau Palestin yang berada di Malaysia.

“Lazimnya, keputusan pelaburan sesebuah syarikat ditentukan oleh kumpulan pengurusan atau lembaga pengarah mereka mengikut model perniagaan (business model) serta analisa risiko ekonomi dan politik yang dijalankan oleh syarikat tersebut,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini. 

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Abun Sui Anyit yang ingin mengetahui tindakan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berhubung perjanjian pelaburan yang dibuat oleh kerajaan tidak akan terjejas disebabkan konflik Palestin dan Israel.

Liew berkata dalam keadaan pasca pandemik dan ketegangan politik global, syarikat-syarikat terutamanya syarikat multinasional (MNC) lebih cenderung untuk mempelbagai dan mengurangkan risiko rantaian bekalan dengan tujuan membina rantaian bekalan yang lebih stabil dan selamat.

Sehubungan itu beliau berkata Malaysia harus mengambil peluang ini untuk menjadi pemain penting dalam rantaian bekalan serantau dan global. 

Katanya kerajaan akan terus menggembleng usaha merangka dasar dan melancarkan strategi yang dapat memperkukuhkan ekosistem pelaburan negara dalam mendepani landskap ekonomi yang dinamik dan sensitif dengan pergolakan geopolitik global.

“Kerajaan sentiasa meletakkan keutamaan yang tinggi dalam memastikan komitmen pelaburan yang dicadangkan dapat dilulus dan dilaksanakan dengan segera untuk mempercepatkan kesan limpahan ekonomi kepada rakyat dan negara,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here