KUALA LUMPUR, 29 Nov – Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Syarikat (Pindaan) 2023 dengan lebih suara bersetuju. 

RUU berkenaan meminda Akta Syarikat 2016 (Akta 777) yang merangkumi fasal satu hingga 31 dengan tujuan utama untuk menambah baik peruntukan sedia ada membabitkan rangka kerja tadbir urus korporat, skim kompromi atau perkiraan dan mekanisme penyelamatan korporat.

Pindaan itu juga bertujuan memasukkan peruntukan baharu berkaitan dengan rangka kerja pelaporan dan penzahiran maklumat pemunyaan benefisial.

Ketika menggulung perbahasan berkenaan, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh menyifatkan RUU itu sebagai perlu dan penting dalam memastikan sektor korporat di Malaysia terus berdaya saing, menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat selain menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

“Sektor korporat Malaysia juga perlu dilindungi daripada disalahguna bagi tujuan-tujuan jenayah serius yang berselindung di sebalik entiti perniagaan. Inilah intipati yang dihasratkan oleh RUU ini,” katanya di Dewan Rakyat hari ini. 

Menjelaskan selanjutnya, Fuziah berkata satu taklimat mengenai RUU itu telah dibuat pada Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas Perdagangan Dalam Negeri, Keusahawanan, Kos Sara Hidup dan Pertanian pada 24 Okt, 2023.

Susulan itu, berdasarkan hasil penelitian yang dibuat, jawatankuasa terbabit bersetuju serta telah mengesyorkan agar RUU itu dibentangkan untuk kelulusan.

“Perkara ini telah dinyatakan melalui penyata jawatankuasa bertarikh pada 8 Nov, 2023,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here