KUALA LUMPUR, 11 Dis – Keputusan kerajaan membina Markas Wilayah Laut 4 (MAWILLA 4) di Bintulu, Sarawak, dilakukan berasaskan kepada keutamaan dan keperluan semasa demi menjaga keselamatan serta kepentingan aset negara.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hassan berkata Bintulu merupakan kawasan yang strategik serta berdekatan dengan Beting Patinggi Ali di Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Laut China Selatan, serta kawasan Lapangan Gas Kasawari.

“Ketika ini banyak aset negara yang perlu dilindungi seperti telaga minyak dan gas serta Beting Patinggi Ali, yang berada di dalam lingkungan 80 kilometer dari Bintulu.

“Ringkasnya, keputusan memlilih Bintulu sebagai lokasi pembinaan MAWILLA 4 merupakan satu langkah strategik dalam melindungi aset dan kepentingan negara,” katanya sesi jawab lisan di Dewan Negara hari ini.

 Mohamad berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan Senator Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh berhubung keutamaan kerajaaan dalam membina MAWILLA 4 dan tentang kepentingan membina kemudahan pangkalan tentera udara di Sabah atau kawasan Timur negeri itu, sebagaimana pemilihan Bintulu.

Beliau berkata mengambil kira kepentingan Lapangan Gas Kasawari dan Beting Patinggi Ali yang menyumbang kepada hampir 30 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), pembinaan MAWILLA 4 di Bintulu merupakan satu keutamaan.

Mohamad berkata perkara itu sebagai langkah memperkukuhkan lagi kawalan dan pemantauan di kawasan berstrategik dan bernilai tinggi, kepada ekonomi dan negara.

“Buat masa ini, sebarang pemantauan dan kawalan keselamatan di kedua-dua kawasan dengan aset bernilai tinggi kepada negara, menggunakan aset Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) daripada Pangkalan Kota Kinabalu di Teluk Sepanggar.

“Dengan pembinaan MAWILLA 4, kapal-kapal TLDM yang ditempatkan di situ mampu tiba di lokasi dalam masa empat ke lima jam pada kelajuan 25 knot, berbanding sehingga 16 jam dari Teluk Sepanggar pada kelajuan sama,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata pembinaan MAWILLA 4 itu tidak bermakna kerajaan melupakan soal kepentingan Sabah, sebaliknya negeri itu telah mempunyai kekuatan diperlukan selain mempunyai banyak lapangan terbang yang boleh berfungsi sebagai lokasi bagi tentera udara beroperasi, sekiranya keadaan memerlukan.

Sementara itu menjawab soalan Senator Datuk Noraini Idris tentang kesan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone) Sabah yang dilanjutkan kepada industri pelancongan, khususnya aktiviti laut di kawasan persisiran pantai Sabah, Mohamad berkata beliau akan membawa isu dan kebimbangan yang dibangkitkan kepada makluman masyuarat Jemaah Menteri.

“Ia mungkin dibuat bertompok-tompok atau di kawasan tertentu sahaja, kerana kerajaan sedang menggalakkan kemasukan pelancong ke negara kita, terutama ke Sabah dan Sarawak,” katanya dan menambah pelaksaan PKP di bawah tanggungjawab Kementerian Dalam Negeri.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata perintah berkurung di ESS Zone yang diisytiharkan sejak 19 Julai 2014 dan tamat pada 17 Okt 2023, dilanjutkan berkuat kuasa 18 Okt bermula 6 petang di kawasan perairan sama kecuali Tawau.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here