PETALING JAYA, 14 Dis – Kerajaan dalam peringkat awal untuk meminda Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 447) untuk menyertakan landskap kawal selia semasa sektor tenaga Malaysia selain seiring dengan pembaharuan pasaran elektrik.

Akta 447 adalah untuk mengadakan peruntukan bagi pengawalseliaan industri pembekalan elektrik, pembekalan elektrik pada harga munasabah, pelesenan mana-mana pepasangan elektrik, pengawalan mana-mana pepasangan, loji dan kelengkapan elektrik berkenaan dengan perkara berhubung dengan keselamatan orang dan penggunaan elektrik dengan cekap.

Setiausaha Bahagian Kanan, Bahagian Bekalan Elektrik Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam Mareena Mahpudz berkata pada masa ini kementerian sedang mengadakan libat urus dengan pihak pengawal selia seperti Jabatan Peguam Negara dan dijangka menangani isu yang dibangkitkan daripada perbincangan itu tidak lama lagi.

“Kebanyakan isu yang dibangkitkan (dalam laporan yang dikeluarkan hari ini) tidak diselesaikan oleh undang-undang memandangkan akta ini telah digubal sejak bertahun-tahun lalu. Tanggungjawab terbesar yang diberikan kepada kementerian sebenarnya untuk meminda undang-undang dan ini bukan mudah,” katanya dalam satu forum hari ini.

Mareena adalah antara ahli panel yang membincangkan laporan bertajuk “Competitive Neutrality in the Malaysian Power Sector: Removing Barriers for a Greener and More Innovative Energy Industry” yang dikeluarkan oleh Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) hari ini.

IDEAS dalam laporan itu menyenaraikan dua syor kepada sektor tenaga Malaysia.

Kumpulan pemikir itu menyarankan pembaharuan menyeluruh terhadap industri bekalan elektrik bagi meningkatkan bahagian tenaga boleh baharu (TBB), bertujuan merangsang pasaran yang lebih berdaya saing sejajar dengan prinsip asas Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

Selain itu, ia turut mencadangkan agar keneutralan daya saing dipertingkat secara meluas, melibatkan syarikat berkaitan kerajaan dan industri bekalan elektrik khususnya untuk meraih manfaat daripada peluang pelaburan baharu dan mendorong pertumbuhan amalan hijau yang lestari.

Felo Kanan IDEAS Renato Lima de Oliveira berkata pelaksanaan keneutralan secara berdaya saing dalam sektor tenaga Malaysia akan membantu peralihan tenaga.

“Terdapat halangan kepada persaingan bebas dan terbuka dalam sektor tenaga misalnya sekatan pemilikan, konsentrasi yang dimiliki oleh sebilangan penggiat, halangan dari segi akses pemilikan tanah yang membabitkan tenaga solar kerana solar berintensifkan tanah dan ini terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri,” katanya.

Menurut De Oliveira pelaksanaan kerangka keneutralan yang berdaya saing ini akan menjadi satu daripada instrumen ke arah pertumbuhan seterusnya industri tenaga yang mempunyai 36 gigawatt kapasiti terpasang dalam TBB. 

“Kita mempunyai peluang untuk mengubah pasaran bagi membuka aliran hasil baharu termasuk eksport tenaga. Pelabur akan masuk sekiranya mereka melihat pasaran tidak cenderung kepada sebahagian pemain dan sekiranya peraturan itu adil dan dapat diramal serta menyokong pertumbuhan,” katanya.

Laporan yang ditulis oleh De Oliveira itu mencungkil aspek penting industri tenaga Malaysia, menangani halangan dan mengesyorkan laluan kepada persaingan yang adil dalam kalangan pemain industri bagi membolehkan peralihan cekap ke arah penggunaan TBB di Malaysia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here