KUALA LUMPUR, 15 Dis – Sokongan pengamal media dan Pemimpin Pendapat Utama (KOL) memainkan peranan penting bagi menonjolkan ciri-ciri Malaysia sebagai destinasi penjagaan kesihatan di pentas global.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata media dan KOL turut memainkan peranan penting sebagai penasihat dalam memperjuang serta memupuk kesedaran berterusan mengenai penjagaan kesihatan yang ditawarkan oleh Malaysia.

“Dengan menjalankan kempen kesedaran dan melaksanakan program pendidikan, kita boleh memperkasa individu untuk menerima pakai gaya hidup lebih sihat dan membuat keputusan termaklum. 

“Menyedari kepentingan ini, Kementerian Kesihatan telah mengenal pasti pendidikan dan promosi kesihatan sebagai antara tonggak strategik utama dalam Kertas Putih Kesihatan yang dilancarkan baru-baru ini,” katanya dalam ucapan perasmian di majlis Anugerah Media Pelancongan Kesihatan (MTMA) 2023 di sini malam ini.

Pada majlis itu, Lukanisman berkata MTMA 2023 anjuran Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC) adalah untuk menghargai kerja cemerlang profesional media, pencipta kandungan dan KOL dalam menghasilkan kisah-kisah menarik mengenai pelancongan penjagaan kesihatan di Malaysia.

Sejak diwujudkan pada 2019, MTMA 2023 telah berkembang menjadi persaingan global apabila ia terus meraikan naratif yang memaparkan kepelbagaian perspektif dalam landskap penjagaan kesihatan Malaysia yang bertenaga.

Dengan lebih 400 penyertaan merentasi lapan negara termasuk Malaysia, lapan wartawan dan pempengaruh antarabangsa yang cemerlang muncul sebagai pemenang di MTMA 2023, masing-masing menerima anugerah berprestij serta hadiah wang tunai yang lumayan berjumlah lebih RM100,000.

Selain itu, Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Liputan6 dari Indonesia telah diiktiraf dengan Anugerah Pasukan Editorial Pelancongan Perubatan Terbaik Tahun ini yang berprestij masing-masing melalui kategori tempatan dan antarabangsa.

Pada majlis sama, empat wartawan Bernama dari Meja Rencana dan Isu Semasa bersama-sama Bernama TV turut dicalonkan sebagai antara finalis MTMA 2023.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MHTC Dr Mohamed Ali Abu Bakar berkata pelbagai penyertaan dari negara seperti Australia, Hong Kong, Indonesia, Malaysia, Maldives, Singapura dan Amerika Syarikat tahun ini menunjukkan pencapaian MHTC ke arah memperkukuh kedudukan negara sebagai peneraju dalam pelancongan penjagaan kesihatan.

Beliau berkata setakat bulan Oktober tahun ini, industri itu telah meraih hasil melebihi RM1.7 bilion sekali gus melepasi sasaran awal ditetapkan bagi 2023.

“Kami optimis bahawa kami akan mencapai RM2.0 bilion menjelang akhir tahun ini, iaitu dua tahun lebih awal daripada yang diunjurkan sekali gus menjadi rekod baharu dalam industri itu.

“…Ini tidak mungkin dapat dicapai tanpa komitmen media dan pempengaruh yang memainkan peranan sama penting dalam membina semula serta menyebarkan kesedaran mengenai jenama Penjagaan Kesihatan  Malaysia,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here