BETONG, 15 Dis – Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) melalui Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) merancang untuk membina depoh pengumpulan susu getah di Bahagian Betong, Sarawak.

Timbalan Menterinya Datuk Rubiah Wang berkata ia bagi membantu pekebun kecil getah di bahagian itu meningkatkan pendapatan mereka kerana susu getah boleh dijual pada harga RM6 sekilogram berbanding getah sekerap yang cuma berharga RM3 sekilogram pada masa ini.

“Kita akan membina dua unit depoh dahulu dengan menggunakan peruntukan pada tahun depan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pekebun Kecil Makmur dan Penyampaian Dividen Projek Agropolitan Ulu Awik 2023 di Rumah Michael, Nanga Risau, Saratok dekat sini hari ini.

Beliau memberitahu pada masa ini sudah ada kilang di Debak, Betong yang menerima susu getah untuk diproses, namun ketiadaan depoh pengumpulan susu getah bagi pekebun-pekebun kecil menyebabkan mereka hanya menjual getah sekerap.

Depoh yang akan dibina di Betong, khususnya di Saratok itu akan dilengkapi dengan kemudahan berteknologi tinggi dan mampu memastikan susu getah disimpan dalam keadaan yang baik sebelum dibawa ke kilang.

Rubiah berkata pemilihan Betong untuk pembinaan depoh itu adalah bertepatan kerana kedudukannya di lingkaran penanaman getah di Sarawak. 

Dalam pada itu beliau turut menggalakkan pekebun-pekebun kecil untuk menanam Klon Lateks Balak kerana ia bukan sahaja boleh menghasilkan susu getah malah pokoknya boleh ditebang sebagai hasil balak selepas 15 tahun.

Pada majlis tersebut Rubiah menyampaikan dividen berjumlah RM161,690 kepada 153 orang peserta Projek Agropolitan Ulu Awik.

Projek Agropolitan Ulu Awik merupakan projek di bawah KKDW yang mula dibangunkan pada tahun 2011 di tanah berstatus Hak Adat Bumiputera (NCR) oleh Risda di bawah pengurusan Risda Plantation Sdn Bhd (RPSB) dengan penyelarasan bersama kerajaan Sarawak.

la merangkumi kawasan pembangunan seluas 349 hektar dengan 337.66 hektar ditanam pokok getah dan setakat ini seluas 288.52 hektar ladang getah telah mula mengeluarkan hasil.

Projek Agropolitan merupakan Projek Lonjakan Mega Luar Bandar (PLMLB) yang bertujuan menghapuskan kemiskinan di luar bandar melalui pembangunan kawasan mundur, terpencil dan terbiar serta meningkatkan pendapatan dan kualiti hidup peserta.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here