MELAKA, 17 Dis – Sebanyak 70 premis berhadapan Sungai Melaka di sekitar Banda Hilir di sini akan dicat semula dalam usaha mengindahkan dan menceriakan pemandangan sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman berkata kerja-kerja cat semula itu dianggarkan menelan kos lebih RM100,000 dan dijangka siap hujung tahun ini.

Beliau berkata kebanyakan bangunan terlibat merupakan bangunan lama yang tidak diselenggara dengan sempurna serta memerlukan perubahan fizikal bagi mewujudkan daya tarikan khususnya kepada pengunjung yang menelusuri Sungai Melaka menaiki Melaka River Cruise.

“Terdapat kekangan untuk kita melaksanakan inisiatif mengecat semula bangunan berkenaan kerana perlu mencari dan berhubung dengan pemilik premis itu kerana kebanyakannya telah disewakan… ada pemilik yang membenarkan dan ada yang tidak mengizinkan.

“Bagaimanapun kami sedang cuba berbincang dengan pemilik bangunan terlibat untuk mendapatkan keizinan mereka dan kita telah mendapat sumbangan cat daripada syarikat pengusaha cat,” katanya pemberita selepas Majlis Perasmian Mural Evolusi Polis Diraja Malaysia (PDRM) sempena TMM2024 di Tembok Balai Polis Melaka Tengah di Jalan Mahkamah di sini malam tadi.

Mural sepanjang 80.19 meter dengan ketinggian 3.34 meter berkonsepkan tiga era perubahan PDRM – 1950, 2000 dan 2020 itu, dirasmikan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan majlis turut dihadiri Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit.

Selain itu, Shadan berkata laluan kontra sebagai alternatif memasuki Banda Hilir menerusi Jalan Banda Kaba dan Jalan Chan Koon Cheng, telah mula beroperasi bagi mengurangkan kesesakan trafik pada hari pelaksanaan Zon Bebas Kenderaan.

Beliau berkata laluan itu akan dibuka setiap Sabtu bermula 6 petang hingga 12 tengah malam dan anggota penguat kuasa MBMB akan membantu melancarkan perjalanan trafik.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here