TOKYO, 17 Dis – Secara kolektifnya, ASEAN dan Jepun boleh memainkan peranan penting dalam kalangan komuniti global ke arah penyelesaian konflik Palestin-Israel yang aman dan bertahan lama, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau turut memaklumkan bahawa kesemua negara anggota ASEAN dan Jepun, telah mengundi untuk menyokong resolusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 12 Dis, yang menuntut gencatan senjata kemanusiaan segera, bantuan kemanusiaan dan pembebasan terbusan.

“Seterusnya kita perlu bekerjasama ke arah memastikan tuntutan ini direalisasikan,” katanya dan menambah kemusnahan yang dilakukan Israel di Gaza, sama seperti pengguguran bom atom di Hiroshima dan Nagasaki pada Perang Dunia ke-2.

Anwar berkata demikian semasa berucap pada agenda pertama Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Jepun bertemakan Kajian semula hubungan ASEAN-Jepun dan agenda kedua bertemakan Rakan Kongsi untuk Keamanan, Kestabilan dan Isu Serantau dan Antarabangsa di Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Jepun di sini hari ini.

Beberapa pemimpin ASEAN lain termasuk Perdana Menteri Thai Srettha Thavisin dan Perdana Menteri Vietnam Pham Minh Chinh, dalam ucapan mereka semasa agenda itu juga telah menyuarakan kebimbangan mereka terhadap Gaza dan keperluan untuk gencatan senjata segera.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here