KUALA LUMPUR, 24 Dis – Setiap perayaan diraikan rakyat pelbagai kaum di Malaysia perlu dijadikan sebagai teras perpaduan yang merupakan kunci utama kepada keharmonian kaum serta kesejahteraan rakyat dan negara.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata sehubungan itu, sambutan Hari Krismas kali ini diharap dapat menjadi asas untuk negara mengukuhkan perpaduan dan keharmonian kaum dalam kalangan masyarakat.

“Raikan kepelbagaian kaum dan agama menerusi semangat toleransi dan saling menghormati antara satu sama lain serta perkukuhkan perpaduan demi kestabilan dan kemakmuran negara.

“Selamat Hari Krismas dan Selamat Tahun Baharu 2024. Semoga perpaduan, keharmonian dan kesejahteraan yang kita nikmati ini berkekalan untuk kita wariskan kepada generasi akan datang,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil turut menzahirkan ucapan Hari Natal buat masyarakat beragama Kristian di seluruh negara dengan harapan agar perayaan tahun ini disambut dengan meriah bersama keluarga tercinta masing-masing.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa turut menyampaikan ucapan Selamat Hari Natal kepada penganut agama Kristian, di samping menasihatkan rakyat Malaysia supaya mementingkan nilai kebersamaan dan perpaduan dalam membina masa depan lebih cerah untuk negara.

“Kita perlu menghargai setiap keunikan dan tradisi masing-masing tanpa mengabaikan nilai perpaduan yang telah membawa kita bersama selama ini. Melalui saling menghormati dan kerjasama, kita boleh mencipta sebuah masyarakat lebih bersatu padu dan sejahtera.

 “Semoga tahun-tahun akan datang membawa lebih banyak keamanan, kasih sayang dan persefahaman antara satu sama lain,” katanya menerusi hantaran di laman X. 

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri menerusi sebuah video di laman X, mengutuskan ucapan Selamat Hari Natal dan mengajak rakyat untuk bersama keluarga dan bergembira dalam menyambut perayaan itu.

“Saya juga mengucapkan Selamat Tahun Baharu bagi tahun 2024.  Bersempena dengan tahun baharu ini, sama-sama kita berdoa agar Malaysia menjadi sebuah negara yang aman damai, bersatu padu dan kuatkan perpaduan dalam kalangan kita,” katanya. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here