KUALA LUMPUR, 29 Dis – Kepakaran keselamatan siber di Malaysia setanding dengan standard antarabangsa dan boleh menarik lebih banyak lagi syarikat asing melabur di negara ini. 

Fong Choong Fook, pengerusi eksekutif syarikat keselamatan siber LGMS Bhd berkata kepakaran Malaysia itu terbukti diperakui apabila Mitsui & Co Ltd dari Jepun, mengumumkan pemerolehan 25 peratus pegangan dalam syarikat tersebut pada Mei tahun ini, satu langkah yang akan membolehkan LGMS mengakses rangkaian global Mitsui yang meluas.

“Mitsui melabur dalam keselamatan siber di Malaysia kerana Malaysia mempunyai ramai tenaga kerja keselamatan siber berbanding negara jiran kita, dan kita mengeksport tenaga kerja kita ke luar negara,” katanya kepada Bernama.

LGMS meneroka peluang untuk pengembangan melalui hasil yang diperoleh daripada tawaran awam permulaannya, susulan penyenaraiannya di Pasaran ACE pada Jun tahun lepas.

Fong, yang dilantik oleh Kementerian Pengangkutan menyertai Jawatankuasa Penasihat Digital pada Mac tahun ini, turut berkata Malaysia merupakan antara negara di Asia Tenggara yang menawarkan banyak kursus keselamatan siber di peringkat universiti, yang tidak ditawarkan di Jepun.

Beliau juga menekankan kepentingan perkongsian risikan dalam hal keselamatan siber, memandangkan serangan siber boleh menjejaskan pertahanan negara juga.

Menurutnya, penting untuk melabur dalam keselamatan siber bagi memastikan negara sentiasa menyedari kemajuan dan ancaman terkini dalam bidang itu.

Sebagai sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan keselamatan siber di Malaysia, kerajaan telah memperkenalkan Strategi Keselamatan Siber Malaysia (MCSS) 2020-2024.

Langkah itu bertujuan untuk mewujudkan persekitaran siber yang selamat, boleh dipercayai dan berdaya tahan sambil menggalakkan kemakmuran ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Bulan lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Kabinet telah bersetuju pada dasarnya untuk merangka Rang Undang-undang Keselamatan Siber, memfokuskan kepada kuasa kawal selia dan penguatkuasaan undang-undang.

Bagi tujuan ini, Agensi Keselamatan Siber Kebangsaan akan diperkukuh untuk menjadi agensi keselamatan siber negara utama dan penguatkuasa rang undang-undang yang dicadangkan itu. – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here