PUTRAJAYA, 26 Jan – Program Pemeteran Tenaga Bersih (NEM) diteruskan dengan tawaran kuota tambahan sebanyak 100 megawatt (MW) untuk NEM Rakyat dan 300 MW untuk NEM NOVA, sebagai insiatif pelaksanaan program Tenaga Bersih Bersepadu bagi tahun ini, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam berkata tempoh tawaran kuota ditetapkan hingga Disember 2024 atau sehingga kuota habis diagihkan, yang mana terdahulu, dan permohonan boleh dibuat bermula 5 Feb ini melalui sistem eNEM di laman sesawang Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA), www.seda.gov.my.

“Program ini akan membolehkan sekurang-kurangnya 25,000 pengguna elektrik domestik dan 100 pengguna kategori komersial dan industri memanfaatkan ruang bumbung di premis bangunan masing-masing untuk penjanaan bekalan elektrik bagi kegunaan sendiri melalui pemasangan sistem solar fotovoltaik (PV),” katanya dalam kenyataan hari ini yang dikeluarkan bersempena dengan Hari Tenaga Bersih Antarabangsa (HTBA) yang disambut hari ini.

Selain program NEM, Fadillah berkata Program Large Scale Solar (LSS) untuk pembangunan loji jana kuasa solar dengan tawaran kuota 2,000 MW akan dibuka bermula 1 April 2024 dengan penjualan dokumen Request for Proposal (RFP) oleh Suruhanjaya Tenaga (ST).

Beliau berkata beberapa pembaharuan akan dilakukan bagi meningkatkan keberhasilan program LSS termasuk mewujudkan kategori khas bagi pembangunan loji jana kuasa solar terapung dengan jumlah kuota 500 MW dan peningkatan had penyertaan sebuah syarikat hingga 500 MW.

“Pelaksanaan program LSS akan dibuat secara bidaan serta pada skala lebih besar bagi memastikan proses pemilihan pemaju secara telus dan adil serta untuk mendapatkan tawaran tarif penjanaan tenaga pada kadar yang paling kompetitif,” katanya.

Fadillah berkata Program Penjanaan Tenaga Rendah Karbon menerusi mekanisme New Enhanced Dispatched Arrangement (NEDA) akan dilaksanakan dengan jumlah kuota 400 MW bagi membuka peluang penyertaan untuk pembangunan projek penjanaan daripada sumber bukan solar seperti angin, hidro kecil, biogas, biojisim dan hidrogen.

Penyertaan program itu adalah berdasarkan prinsip First Come, First Serve dan permohonan boleh dikemukakan bermula 5 Feb 2024 melalui laman sesawang Single Buyer, www.singlebuyer.com.my.

Beliau berkata projek Rintis Sistem Penstoran Tenaga (BESS) dengan jumlah kapasiti 400 MWj akan dimulakan pada suku pertama 2024 dan dilaksanakan Tenaga Nasional Berhad (TNB), dioperasikan oleh Grid System Operator (GSO) dan dikawal selia ST.

“Pelaksanaan projek rintis BESS ini akan menyokong aspirasi peralihan tenaga negara melalui pengukuhan sistem rangkaian grid bekalan elektrik,” katanya.

Fadillah berkata kementerian juga sedang mengkaji dan membangunkan program serta inisiatif baharu dalam bidang tenaga bersih bersepadu yang bersifat progresif berdasarkan kemajuan dalam pembangunan sektor tenaga boleh baharu dan permintaan terhadap bekalan elektrik hijau semasa.

“Semua usaha ini bertujuan meningkatkan campuran tenaga bersih bersepadu dalam pembekalan elektrik negara, sambil membuka lebih banyak peluang dan akses kepada bekalan elektrik hijau,” katanya.

Pelaksanaan program Tenaga Bersih Bersepadu bagi tahun ini katanya, akan menyokong inisiatif peralihan tenaga dan pengurangan jejak karbon yang dihasratkan negara, selain menjana limpahan ekonomi dalam bentuk nilai pelaburan langsung berjumlah RM12 bilion dalam industri tenaga boleh baharu dan mewujudkan sekurang-kurangnya 36,000 peluang pekerjaan kepada rakyat.

HTBA disambut untuk meningkatkan kesedaran dan menggalakkan usaha masyarakat global dalam memenuhi komitmen peralihan tenaga yang saksama dan inklusif, berdasarkan Matlamat Pembangunan Mapan ke-7, yang bertujuan memastikan akses kepada bekalan tenaga mampu bayar, boleh dipercayai, mapan, dan moden.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here