KUDAT, 17 Feb – Bukan sekadar meminjam buku, rakyat di negara ini wajar menjadikan 506 perpustakaan desa di seluruh negara sebagai pusat aktiviti komuniti dan mengukuhkan perpaduan, kata Menteri Perpaduan Negara Datuk Seri Aaron Ago Dagang.

Beliau berkata sehubungan itu, pihaknya aktif melaksanakan pelbagai program bagi merealisasikan hasrat berkenaan antaranya menganjurkan program Klik eUsahawan di 10 lokasi perpustakaan desa seluruh negara dengan kerjasama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC). 

Menurut Aaron program berkenaan bertujuan melahirkan usahawan muda dan membantu menggunakan platform media sosial bagi mempromosikan produk keusahawanan yang digerakkan di perpustakaan desa.

“Kementerian akan mengambil pendekatan ‘Merakyatkan Perpustakaan’ sebagai satu modus operandi baharu bagi meningkatkan peranan perpustakaan dalam membentuk masyarakat Malaysia MADANI.

“Melalui usaha ini, pemerkasaan perpustakaan desa akan diberikan penekanan dengan meningkatkan capaian Internet dan kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi. PNM (Perpustakaan Negara Malaysia) akan melaksanakan kajian keberkesanan perpustakaan desa kepada pembangunan komuniti setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Perpustakaan Desa Kampung Kumbatang di sini hari ini, yang turut dihadiri Pembantu Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Harun Durabi.

Sementara itu, ketika ditemui pemberita, Aaron berkata terdapat 51 perpustakaan desa di seluruh Sabah yang mampu memainkan peranan sebagai ejen perpaduan dan perubahan dalam kalangan masyarakat terutama daripada segi pusat penyebaran maklumat selain tempat pertemuan komuniti.

“Kita tahu di kawasan luar bandar dan pedalaman ada isu tentang capaian Internet, tetapi di perpustakaan desa seperti Kampung Kumbatang ini kita sediakan capaian Internet jadi penduduk terutama belia boleh datang sini untuk dapatkan Internet bagi kegunaan sekolah, berniaga atas talian dan pelbagai.

“Semua program dilaksanakan dan perpustakaan desa menjadi tempat pertemuan masyarakat membolehkan perpaduan dalam kalangan rakyat dijalin erat. Jadi amat sesuailah perpustakaan diletakkan di bawah Kementerian Perpaduan Negara,” katanya.

Justeru, beliau berkata rakyat harus mengambil peluang terhadap pelbagai fasiliti yang disediakan itu untuk memajukan diri dan meningkatkan tahap kehidupan mereka.

Sementara itu, katanya PNM telah berjaya melaksanakan lebih 60,000 program galakan membaca dan literasi maklumat pada 2023.

“Kementerian ini komited dalam meningkatkan perlaksanaan program galakan membaca bagi melahirkan masyarakat berilmu dan berpengetahuan tinggi,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here