KOTA KINABALU, 18 Feb – Kerajaan Sabah telah memperuntukkan RM3.43 juta bagi membantu Akademi Kepimpinan Wanita (AKWan) di bawah Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS) dalam usaha akademi itu untuk memperkasakan kepimpinan wanita di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata peruntukan itu dapat membantu AKWan melaksanakan program-program latihan bagi meningkatkan kualiti kepimpinan golongan wanita di Sabah. 

Beliau berkata usaha itu yang juga projek khas Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS) adalah sebagai usaha membudayakan kesaksamaan gender dan membangun potensi wanita di negeri ini.

“Saya dimaklumkan sasaran peserta AKWan ini terdiri daripada pemimpin politik, orang muda di peringkat akar umbi selain yang terlibat dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Saya yakin graduan AKWan mampu menggalas tanggungjawab sebagai seorang pemimpin pada masa akan datang,” katanya sempena Majlis Graduasi Kursus Kepimpinan Wanita (AKWan) di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR) Datuk James Ratib.

Hajiji berkata kerajaan negeri menghargai usaha Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) dan MPWS dalam memperkasakan golongan wanita di Sabah.

Katanya KPMKR melalui JHEWA telah diperuntukkan sebanyak RM4.2 juta bagi pelaksanaan  program Kemahiran Ibu Tunggal dan Wanita B40, Program Kepimpinan dan Kesaksamaan Gender serta Program-Program Kesedaran, manakala MPWS menerima peruntukan sebanyak RM700,000.

Sementara itu, Ketua Menteri berkata kerajaan negeri akan terus berusaha untuk mencapai sasaran 30 peratus penglibatan wanita dalam memegang jawatan tinggi dan pembuat keputusan di negeri Sabah.

Katanya setakat Januari tahun ini, wanita sebagai pembuat dasar keputusan kerajaan negeri bagi jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (TSKN) merekodkan 33.3 peratus iaitu seorang wanita daripada tiga orang TSKN. 

Katanya jawatan Setiausaha Tetap Kementerian (SUTK) pula mencatat 30 peratus, iaitu tiga orang wanita daripada 10 SUTK manakala 47.61 peratus bagi Ketua Jabatan iaitu 20 wanita daripada 42 Ketua Jabatan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here