CYBERJAYA, 21 Feb – Kementerian Digital akan terus memastikan bahawa sektor kerajaan dan industri dibekalkan dengan kelengkapan yang baik dalam memacu perjalanan digitalisasi negara, dengan memberi keutamaan kepada daya saing yang mantap berbanding negara lain.

Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata kementeriannya sedang berusaha mengukuhkan asas digitalisasi negara, untuk menggerakkan pertumbuhan ekonomi, menarik pelaburan, dan meningkatkan daya saing negara di peringkat global dan serantau.

Beliau berkata ini akan dilakukan dengan menekankan pendekatan progresif dan menyeluruh terhadap program-program digitalisasi.

“Pertumbuhan pesat dalam digitalisasi memberikan peluang dan cabaran. Semasa teknologi kita terus berkembang, dasar-dasar dan inisiatif kita juga bergerak seiring bagi memaksimumkan faedah ekonomi dan sosial untuk semua,” katanya semasa berucap ketika melancarkan Telekom Malaysia Berhad (TM) One Innovation Lab dan Majlis Pusat 5G Enterprise di Akademi Digital TM di Universiti Multimedia, di sini, hari ini.

Menurutnya selain itu, pihak kementerian juga menyasarkan untuk memupuk minda yang mengutamakan digital, di samping menggalakkan penggunaan teknologi digital dalam sektor awam dan swasta.

Sementara itu Gobind berkata dua makmal yang ditubuhkan oleh TM hari ini akan menjadi pusat digital yang mempromosikan kerjasama inovatif, penciptaan penyelesaian digital yang dimajukan dengan Kecerdasan Buatan (AI), dan pembangunan aplikasi yang khusus kepada industri yang memanfaatkan kelajuan tinggi 5G.

“Ia menyediakan ruang untuk kolaborasi dan penciptaan bersama, memudahkan perkongsian antara pihak berkepentingan yang berbeza bagi menggerakkan transformasi digital. Ini adalah sesuatu yang pertama kali saya lihat di sini (di Malaysia) yang menonjolkan penggunaan 5G.

“Ini adalah salah satu perkara yang kementerian saya sedang pertimbangkan… bagaimana kita boleh melakukan itu (menubuhkan makmal sedemikian) di peringkat persekutuan dan negeri serta kerajaan tempatan.. ada banyak perkara yang perlu kita bincangkan semasa kita melangkah maju bersama,” katanya.

“Namun untuk permulaan, kita boleh menjangka usaha-usaha kolaborasi di dalam makmal ini akan membuka peluang baru dan merangsang kemajuan dalam sektor-sektor penting seperti penjagaan kesihatan, pendidikan, dan pertanian,” tambahnya.

Gobind berkata lebih banyak makmal seumpama itu akan ditubuhkan pada masa depan untuk memacu fasa seterusnya perjalanan digitalisasi Malaysia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here