KUALA LUMPUR, 21 Feb – Jepun menyasarkan untuk terus mengukuhkan pelaburan dan kerjasama strategik yang komprehensif antara negara itu dengan Malaysia pada tahun ini.

Duta Besar Jepun ke Malaysia Katsuhiko Takahashi berkata negara itu juga berharap Malaysia dapat meningkatkan pelaburan di Jepun yang merupakan destinasi pelaburan menarik dengan saiz pasaran besar selain dipercayai mempunyai asas sumber manusia terbaik dunia serta kompetitif dari segi penyelidikan dan pembangunan (R&D).

“Sebahagian besar daripada rakyat Malaysia sudah pun melabur di Jepun, namun kita berharap usaha itu dapat dipertingkatkan lagi,” katanya pada majlis resepsi bersempena hari keputeraan Maharaja Naruhito di sini, semalam.

Pada November tahun lepas, kunjungan rasmi Perdana Menteri Fumio Kishida ke Malaysia telah memperkukuh hubungan dua hala selain mendorong pelbagai impak yang positif.

Ini kemudiannya disusuli dengan lawatan kerja lima hari oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Jepun pada bulan berikutnya.

Mengulas selanjutnya, Takahashi berkata selain kunjungan di peringkat pemimpin, Jepun turut menerima lawatan peringkat tertinggi mewakili sektor awam dan swasta seperti menteri dan pemimpin wilayah.

Tidak ketinggalan, misi perniagaan yang diketuai oleh Dewan Perniagaan dan Perindustrian Jepun.

“Ini merupakan satu lagi aspek yang menjadi bukti peningkatan kerjasama Jepun-Malaysia,” katanya.

Selain itu, Takahashi berkata tahun lepas menyaksikan pihak kedutaan Jepun menumpukan usaha mempromosi makanan Jepun dan aspek keselamatannya yang terbukti mendapat sambutan yang baik.

Beliau juga menjangkakan kampus Universiti Tsukuba di Malaysia akan dibuka pada tahun ini.

“Usaha ini satu pencapaian bermakna dari segi kerjasama pendidikan dan kami akan memastikan aspek ini dapat berjalan dengan lancar,” katanya.

Malah, penubuhan kampus cawangan Universiti Tsukuba di Malaysia juga adalah pencapaian bermakna kerana menjadi kampus pertama universiti Jepun di luar negara.

Jepun merupakan rakan dagang keempat terbesar Malaysia selama lapan tahun berturut-turut sejak 2015 dan pada 2022, perdagangan dengan Jepun menyumbang sebanyak 6.4 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia yang mencecah US$41.26 bilion (RM181.73 bilion).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here