KUALA LUMPUR, 7 Mac – Jawatankuasa Kecil Pasaran Kewangan Islam (IFMC) telah diberi tanggungjawab untuk mengkaji strategi bagi meningkatkan penyertaan pelabur asing dalam terbitan sukuk domestik, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Abdul Rasheed Ghaffour.

Beliau berkata penyertaan pelabur asing dalam pasaran sukuk Malaysia kini berjumlah US$12.6 bilion (RM59.6 bilion).

Justeru, katanya, bagi mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia pada peringkat global sebagai gerbang kewangan Islam, usaha sedang diperhebat untuk menggiatkan kerancakan pasaran kewangan Islam melalui kepelbagaian instrumen dan kejelasan peraturan.

“Usaha ini bertujuan untuk meningkatkan kepelbagaian dan jumlah aset pelaburan yang patuh Syariah termasuklah kepada pelabur antarabangsa,” kata Abdul Rasheed menerusi ucap tama beliau pada Simposium Kewangan Islam 2024 maya, anjuran FitchRatings, di sini, hari ini.

Beliau berkata IFMC, yang ditubuhkan oleh BNM, mencatatkan kemajuan penting dalam bidang lindung nilai yang membawa kepada Majlis Penasihat Shariah mengeluarkan keputusan berhubung kebolehizinan untuk membuat lindung nilai jangkaan, namun tertakluk pada syarat-syarat tertentu. 

“Keputusan ini bertujuan untuk memajukan lagi pasaran derivatif Islam bagi memastikan pasaran ini selari dengan prinsip-prinsip Syariah dan amalan pengurusan risiko yang berhemat,” katanya.

Abdul Rasheed berkata BNM juga sedang menjalin kerjasama lebih kukuh dengan Majlis Kerjasama Negara-Negara Arab Teluk (GCC) dan negara-negara di Asia untuk meningkatkan pembangunan bersama dalam kewangan Islam.

“Usaha ini akan mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai gerbang kewangan Islam ke pasaran GCC dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC),” katanya.

Dalam tempoh lima tahun lepas, pasaran sukuk Malaysia telah berkembang sebanyak kira-kira US$70 bilion (RM332.3 bilion) atau 35 peratus untuk menghasilkan jumlah terkumpul sebanyak US$267.5 bilion (RM1.27 trilion).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here