KUALA LUMPUR, 11 Mac – Kerajaan sedang berusaha memajukan infrastruktur grid elektrik di seluruh negara bagi memastikan ia dapat menampung kemasukan kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) yang lebih tinggi menjelang 2050, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof. 

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata penerapan teknologi terkedepan termasuk teknologi penstoran tenaga serta pendigitalan sistem kendalian grid yang lebih pintar, perlu dilakukan bagi menyokong kapasiti kemasukan TBB yang bersifat intermittent seperti tenaga solar. 

Usaha itu, katanya akan dilaksanakan secara berperingkat bermula tahun ini hingga 2050 dengan nilai keseluruhan pelaburan diperlukan bagi meningkatkan keupayaan infrastruktur grid elektrik kira-kira RM184 bilion.

“Tindakan ini akan membolehkan penyediaan kelengkapan infrastruktur rangkaian grid yang selaras dengan aspirasi peralihan tenaga kerajaan untuk mempromosikan penggunaan TBB serta bagi mengurangkan penggunaan bahan api fosil dalam sektor tenaga dikecapi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air di Dewan Rakyat hari ini. 

Dalam pada itu, Fadillah berkata kerajaan melalui agensi berkaitan seperti Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) akan menyelaras bantuan penghantaran air menggunakan lori tangki ke negeri-negeri yang mengalami masalah kekurangan bekalan air.

Perkara itu selaras dengan Memorandum Persefahaman (MoU) Kerjasama Antara Operator Air Semasa Menghadapi Krisis Bekalan Air yang ditandatangani pada 17 Mei 2022, kata beliau. 

Pada masa sama, beliau berkata penyelarasan antara kerajaan negeri dan agensi berkaitan bagi menggerakkan bantuan pembenihan awan, turut dilaksanakan bagi membantu meningkatkan paras air empangan yang menjadi sumber bekalan air mentah kepada loji rawatan air di negeri terjejas. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here