KUALA LUMPUR, 13 Mac – Sebanyak 182 projek di bawah Kementerian Kerja Raya (KKR) dengan nilai RM4.63 bilion telah berjaya disiapkan tahun lepas, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata dalam tempoh itu juga daripada 730 projek yang dalam peringkat pembinaan, hanya 21 projek, atau 2.9 peratus daripada jumlah itu diklasifikasikan sebagai projek sakit.

“JKR sentiasa memantau projek sakit ini dan mengambil langkah-langkah intervensi bagi menyelamatkan projek-projek ini,” katanya ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi KKR di Dewan Rakyat hari ini.

Sementara itu Nanta berkata KKR telah menerima 12,245 aduan berkaitan kerosakan jalan raya, lampu isyarat dan lampu jalan, papan tanda, perabot jalan, kemudahan awam dan sebagainya melalui aplikasi MYJalan, namun daripada jumlah hanya 25.91 peratus atau 3,173 aduan membabitkan jalan di bawah seliaan agensi KKR.

“Sebanyak 2,345 aduan telah diselesaikan oleh agensi KKR dengan 2,193 atau 93.52 peratus selesai dalam tempoh satu hingga 30 hari. Manakala 828 aduan dalam proses tindakan,” katanya.

Selain itu Nanta berkata KKR menyasarkan untuk menambah 79 lagi tempat teduhan bagi penunggang motosikal di lebuh raya pada tahun 2024.

“Ini menjadikan keseluruhan 119 lokasi tempat berteduh penunggang motosikal baharu dibina di bawah inisiatif KKR, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan syarikat konsesi sepanjang tahun 2023-2024 di samping 353 tempat berteduh penunggang motosikal sedia ada di sepanjang lebuh raya,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here