KUALA LUMPUR, 19 Mac – Kerangka Rang Undang-Undang (RUU) Keselamatan Dalam Talian sedang diperhalusi dan dijangka akan dibentangkan pada sidang Parlimen akan datang, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata Kabinet telah memutuskan supaya Akta Keselamatan Dalam Talian diwujudkan dan Kementerian Komunikasi serta Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri diarah mengkaji keperluan akta itu.

Beliau berkata jawatankuasa bagi mengkaji undang-undang baharu itu telah ditubuhkan dan sesi perbincangan juga sedang dilaksanakan.

“Ada kemungkinan RUU ini boleh dibawa pada Parlimen, diluluskan pada sidang (Parlimen) akan datang…ini sedang diusahakan,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) sama ada kerajaan berhasrat menggubal akta mengenai keselamatan dalam talian selain menjadikan aduan atau laporan orang awam di media sosial sebagai laporan maklumat pertama (FIR) untuk tindakan lanjut.

Menjawab soalan asal Datuk Shamshulkahar Mohd Deli (BN-Jempol) yang ingin tahu sama ada kementerian memutuskan untuk mewajibkan semua penyedia perkhidmatan platform media sosial yang beroperasi di negara ini berdaftar dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Teo berkata perkara itu sedang diperhalusi dan MCMC dalam proses melengkapkan kerangka pelesenan tersebut.

Beliau berkata cadangan penguatkuasaan pelesenan itu disasarkan kepada penyedia perkhidmatan media sosial dan perkhidmatan pemesejan Internet (Internet messaging services) yang boleh diakses oleh pengguna mengikut kriteria penilaian yang akan ditetapkan.

Katanya langkah itu wajar memandangkan ketersediaan kandungan mudarat yang tinggi di platform media sosial dan pemesejan Internet.

“Langkah cadangan kawal selia ini adalah untuk meningkatkan tahap keselamatan dalam talian serta menangani kandungan yang bertentangan dengan perundangan negara, seiring dengan pendekatan dan perkembangan global semasa dan bukannya bertujuan untuk menyekat kebebasan media,” katanya.

Menurut Teo pelaksanaan pendaftaran itu dijangka meningkatkan tahap perlindungan pengguna selain memastikan pengguna juga dapat menikmati perkhidmatan tersebut dalam ruang lingkup yang selamat dan boleh dipercayai.

Sementara itu berhubung tindakan menurunkan atau memadam kandungan di media sosial, beliau menegaskan keputusan menurunkan sebarang kandungan di platform itu bukan hanya tertakluk kepada kuasa MCMC sebaliknya turut melibatkan penyedia platfom tersebut.

Beliau berkata apabila MCMC menerima aduan daripada orang awam dan pihak penguat kuasa, suruhanjaya itu akan memaklumkan kepada penyedia perkhidmatan dalam talian tersebut untuk tindakan menurunkan kandungan terlibat.

“Penyedia platform pula akan membuat keputusan sama ada aduan itu bertentangan garis panduan komuniti mereka dan sekiranya ya, mereka akan menurunkan kandungan itu,” katanya.

Teo berkata sepanjang 1 Jan hingga 14 Mac tahun ini, sebanyak 14 peratus daripada keseluruhan permohonan menurunkan kandungan yang dikemuka oleh MCMC telah ditolak penyedia platform kerana kandungan terlibat tidak menyalahi garis panduan komuniti mereka.

Katanya dalam tempoh sama sebanyak 86 peratus kandungan yang berjaya diturunkan melibatkan kandungan berunsur perjudian, penipuan dan kandungan palsu.

Beliau menjawab soalan tambahan Shamshulkahar berhubung garis panduan MCMC dalam menganalisis kandungan di media sosial sebelum meminta penyedia platfrom menurunkan kandungan terlibat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here