KUALA LUMPUR, 26 Mac – Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) 2024 di peringkat dasar membabitkan peruntukan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan.

Rang Undang-Undang berkenaan dibentangkan untuk bacaan kali kedua oleh Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan telah diluluskan di peringkat dasar dengan lebih suara bersetuju selepas dibahas.

Dokumen itu bertujuan mengadakan peruntukan bagi penguntukan semula daripada Kumpulan Wang Disatukan berjumlah RM648,537,400 bagi perkhidmatan dan maksud yang dinyatakan dalam Jadual kepada Rang Undang-Undang ini bagi 2024.

Permohonan peruntukan itu juga susulan penyusunan semula beberapa kementerian yang turut dinamakan semula selain penubuhan kementerian baharu dengan fungsi-fungsinya dipindahkan daripada kementerian lain selaras dengan pembentukan Kabinet baharu pada 12 Dis, 2023.

Langkah penyusunan semula itu turut melibatkan perpindahan program agensi antara kementerian dan bagi disusun semula dengan baki program dari kementerian asal perlu turut dipindahkan bagi maksud perbekalan baharu.

Sewaktu penggulungan di peringkat dasar, Amir Hamzah berkata penguntukan semula berkenaan juga tidak melibatkan sebarang peruntukan tambahan.

Ini sebagai menjawab pertanyaan Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) sama ada pertambahan anggota Jemaah Menteri atau Kabinet telah menyebabkan kos implikasi kewangan kerajaan.

Amir Hamzah menjelaskan, jumlah peruntukan bagi anggaran perbelanjaan mengurus kekal RM303.8 bilion manakala anggaran perbelanjaan pembangunan kekal RM90 bilion seperti diluluskan di bawah Akta Perbekalan 2024.

“Oleh demikian, peruntukan diuntukkan semula melalui Rang Undang-Undang Penguntukan Semula 2024 kepada kementerian baharu atau kementerian yang menerima fungsi baharu, akan dipadankan dengan sekatan peruntukan ke atas kementerian asal yang menyerah tugas.

“Walaupun terdapat beberapa perjawatan baharu seperti menteri baharu, jumlah ini mampu diserap menerusi penjimatan dan mengoptimumkan peruntukan sedia ada,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here