KUALA LUMPUR, 6 April – Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Penyelarasan Pelaburan dan Perdagangan (JTPPP) hari ini membincangkan cadangan semakan Akta Penyelarasan Perindustrian (ICA) 1975 yang tidak pernah disemak sejak tahun 1976.

 Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata mesyuarat JTPPP ketiga pada tahun ini dan mesyuarat keenam sejak ditubuhkan pada Oktober 2023 turut membincangkan mengenai Kerian Integrated Green Industrial Park.

“Sejak saya di Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), salah satu fokus kami ialah pelaksanaan segera projek-projek pelaburan melibatkan industri dan juga komitmen eksport. Sebab itulah, kita tubuhkan mesyuarat JTPPP.

“Kenapa kena ada penyelarasan merentas pelbagai kementerian, termasuk Kementerian Kewangan (MOF) dan Ekonomi serta kementerian dan agensi lain yang berkenaan?

“Jawapan: Setiap projek melibatkan kelulusan berlainan berdasarkan punca dan bidang kuasa kementerian tertentu dan jenis pelaburan atau projek. Contohnya, hal-hal berkaitan insentif cukai, itu bawah bidang kuasa MOF, bukan MITI,” katanya menerusi hantaran di laman X pada Jumaat.

Akta Penyelarasan Perindustrian (ICA)1975 diperkenalkan dengan tujuan untuk mengekalkan perkembangan dan pertumbuhan yang teratur dalam sektor perkilangan negara.

Akta ini menghendaki syarikat perkilangan dengan dana pemegang saham berjumlah RM2.5 juta dan ke atas atau yang menggaji 75 orang atau lebih pekerja sepenuh masa untuk memohon lesen perkilangan bagi mendapatkan kelulusan daripada MITI.

Tengku Zafrul berkata yang penting, semua bekerjasama secara keseluruhan kerajaan untuk memastikan semua aspek diliputi dan mencapai matlamat.

“Alhamdulillah, ‘good traction’ on JTPPP setakat ini dan pelbagai projek sudahpun berjalan lancar,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here