IPOH, 7 Okt — Kerajaan negeri akan mengaktifkan semula pusat kuarantin COVID-19 di Institut Latihan Statistik Malaysia (ILSM)  di Sungkai, Tanjung Malim berikutan peningkatan kes positif jangkitan wabak itu.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata pengaktifan semula pusat kuarantin itu yang mempunyai kapasiti 90 katil dijangka bermula pada Sabtu ini tertakluk kepada nasihat Jabatan Kesihatan Negeri. 

Selain ILSM, dua hotel di sekitar bandar raya Ipoh juga masih aktif sebagai pusat kuarantin dengan kapasiti 128 bilik keseluruhannya untuk kemasukan melalui pintu masuk antarabangsa di Perak. 

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan Tilawah al-Quran dewasa rakaman video serta Anugerah Masjid dan Perkuburan Islam Terbaik bersempena Maal Hijrah 1442 negeri Perak di sini, hari ini.

Ahmad Faizal juga berkata terdapat lima lagi pusat kuarantin berada dalam status siap sedia untuk diaktifkan bagi menghadapi sebarang kemungkinan iaitu Institut Tadbiran Islam Perak; Institut Latihan Pegawai Awam Perak; Institut Latihan Perindustrian; Teknologi Pendidikan Negeri Perak yang semuanya di sini serta Institut Tanah Dan Ukur Negara  di Behrang, Tanjung Malim. 

“Kerajaan negeri percaya langkah-langkah kawalan seperti mengaktifkan pusat kuarantin akan membantu mengurangkan risiko penularan dengan memastikan individu berisiko dikuarantin,” jelasnya.

Semalam, sebanyak lapan kes baharu jangkitan COVID-19 direkodkan di Perak dengan tujuh daripadanya di daerah Larut, Matang dan Selama yang dikesan melalui saringan kontak kepada kes positif di sebuah kem tahanan, manakala satu lagi kes di daerah Kinta hasil saringan pulang dari Sabah.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal berkata kerajaan negeri bersedia menyediakan pengangkutan kepada mahasiswa anak Perak yang terkandas di kampus masing-masing untuk pulang ke kampung halaman jika terdapat bilangan melebihi 10 orang dan mereka perlu menghubungi talian hotline 012-6640846.

Bagaimanapun, untuk mahasiswa yang berada di Sabah dan Sarawak, Ahmad Faizal berkata kerajaan negeri perlu mendapatkan maklumat terperinci terlebih dahulu termasuk jumlah yang terlibat. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here